Rasuah: Tiada yang terkecuali daripada terima hukuman

SHAH ALAM, 22 Syaaban 1438H, Jumaat – Kerajaan akan meneruskan operasi pembersihan serta menangkap pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam kegiatan rasuah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya tidak akan melindungi sesiapa sahaja dan memastikan mereka yang dianggap seperti ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ ditangkap serta dihukum.

“Kita tahu semua ‘pegar’ ini beri maklumat operasi polis. Kita menghidu semua perkara ini.

“Petang semalam pun saya ada berjumpa dengan Ketua Polis Melaka. Kita tidak akan lindungi sesiapa pun walaupun mereka yang ditahan mendakwa kononnya dianiaya, digunakan atau dipaksa (mengambil rasuah),” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penangkapan enam anggota polis di Melaka yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengutip wang perlindungan daripada pengusaha-pengusaha pusat perjudian dan rumah urut di negeri itu.

Ahmad Zahid berkata, isu rasuah membabitkan anggota berkenaan menyebabkan persepsi negatif rakyat terhadap imej dan integriti polis.

“Disebabkan sikap seperti enam orang polis di Melaka yang ditahan kerana rasuah inilah menyebabkan rosak susu sebelanga,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *