Berita Utama

Rafizi tak takut pandangan umum walau nasihat dipertikai

Yakin rakyat akan mula fahami, ikut serta saranannya

BANGI, 1 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Rafizi Ramli menyatakan dirinya tidak takut dengan pandangan umum meskipun kenyataan beliau kepada pengguna baru-baru ini dipertikai.

Sebaliknya, Menteri Ekonomi itu yakin rakyat yang rasional akan mula memahami dan mengikut apa yang disarankan selepas ini.

Menerusi hantaran di Twitter hari ini, beliau berkata, kenyataannya sebelum ini adalah mengenai usaha untuk menyuntik lebih keanjalan harga sebagai satu mekanisme mengawal harga barang, selain langkah di peringkat pembekal, iaitu melawan monopoli, menambah bekalan dan kawalan harga.

“Kita juga perlu suntik keanjalan dalam permintaan sebagai satu lagi mekanisme kawalan harga. Kerajaan banyak data harga yang boleh digunakan rakyat. Kita mula dengan yang ini, insya-Allah sedikit demi sedikit kita kembalikan kuasa pengguna.

“Jangan takut dengan pandangan umum. Insya-Allah, rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pandan itu yakin dalam sebulan lagi, ‘geng’ Perikatan Nasional (PN) yang mempertikaikan semua itu akan terduduk.

“Sama macam mereka terduduk soal lain yang asalnya kontroversi tapi bila hujahnya dibentang satu persatu, rakyat yang cerdik faham,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi berkata, pengguna perlu berperanan menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan menjadi lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.

Katanya, seandainya pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button