Lima pegawai Zakat Pulau Pinang bebas dengan jaminan SPRM

GEORGE TOWN, 22 Syaaban 1438H, Jumaat – Lima pegawai Zakat Pulau Pinang (ZPP) termasuk dua pegawai kanan yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan zakat negeri dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas tempoh reman ke atas mereka tamat hari ini.

Majistret Muna Maria Azmi membenarkan kesemua pegawai itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semua pegawai berkenaan tiba di perkarangan Mahkamah Majistret pada 11 pagi dan perintah dikeluarkan oleh Majistret kira-kira 11.30 pagi tadi.

Dua pegawai kanan ZPP yang direman bermula 9 Mei lalu dibebaskan dengan jaminan masing-masing sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, manakala tiga pegawainya yang ditahan pada 12 Mei masing-masing dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bermula 9 Mei lepas , seramai 15 individu termasuk tujuh pegawai kanan ZPP dan kontraktor ditahan SPRM negeri itu bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat untuk projek pembangunan masyarakat ZPP sejak tiga tahun lalu.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *