KPDNKK senarai 10 barangan terkawal Ramadan

SEPANG, 23 Syaaban 1438H, Sabtu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan sebanyak 10 barangan terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 bermula 22 hingga 31 Mei ini di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, barangan tersebut adalah kacang tanah, kacang hijau, telur ayam gred A, B dan C, kelapa biji, kelapa parut, gula pasir putih halus dan kasar serta tepung gandum.

Beliau berkata, skim yang kali pertama dilaksanakan itu bertujuan menyekat kenaikan harga yang tidak berpatutan selain mencegah amalan mencatut dalam kalangan peniaga.

“Sebelum ini terdapat pelbagai rungutan daripada orang ramai tentang kenaikan harga barangan tertentu oleh peniaga terutama menjelang dan semasa Ramadan.

“Menerusi skim ini peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas merah jambu bagi membezakan dengan barangan lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan diambil tindakan tegas, kata Hamzah.

“Mereka yang menjual melebihi harga maksimum ditetapkan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Bagi peniaga yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Katanya, anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga kementerian akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar pagi, pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *