‘Insiden tampar tak pernah berlaku pada zaman pemerintahan saya’

PUTRAJAYA, 23 Syaaban 1438H, Sabtu – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, insiden seperti yang terjadi kepada produser filem, David Teo tidak pernah berlaku pada era pemerintahannya, mahupun zaman pentadbiran perdana menteri terdahulu.

Beliau berkata, perkara seperti itu hanya berlaku pada zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ramai yang membenci pemerintahannya.

Malah, beliau mendakwa peluang rakyat untuk bertanya perkara benar semakin terhad, malah mengakibatkan individu itu ditimpa masalah.

“Tak pernah berlaku dahulu dan tak pernah berlaku kepada saya dan perdana menteri yang lain sebelum daripada saya.

“Ia berlaku hanya di zaman Najib, kerana semua orang benci terhadap pemerintahannya, tetapi apabila mereka bercakap, mereka akan hadapi masalah,” katanya secara langsung dalam temu bual ‘Hangpa Tanya, #ChedetJawab’ yang dibuat secara langsung di laman sosial Facebook beliau, semalam.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, kebanyakan media, termasuk surat khabar dan stesen televisyen kini ditapis sehingga tidak ada berita lagi.

“Sebab itu bila ada peluang untuk mereka bercakap, mereka cuba dan inilah kesan. Inilah hasil daripada percubaan untuk bercakap benda yang benar. Untuk bertanya soalan pun tak boleh, kena pukul,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan insiden tampar berkenaan sebagai satu perkara yang memalukan.

“Saya tak tahulah Mat Over ini siapa, tetapi sepatutnya selepas dia lempang itu dipisahkan. Tapi saya nampak ramai orang bersorak. Ini memalukan kita di seluruh dunia, lebih-lebih lagi perkara ini berlaku di depan perdana menteri.

“Biarpun ada cara berdamai, tapi benda sudah berlaku. Kalau dia (Najib) berani, buka kepada semua orang. Kita nak tengok, orang takut lempang atau tidak,” katanya.

Pada Rabu lalu, Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) kecoh selepas pelawak, Sulaiman Yassin atau lebih dikenali Mat Over menampar David di depan Najib.

David pada mulanya menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap cara moderator, Datuk Rosyam Nor mengendalikan majlis dan ianya menyebabkan berlaku sedikit ketegangan antara David dan Rosyam sebelum Mat Over muncul, dan menampar David.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *