Berita Utama

Bersatu Perak belum mohon menghadap Sultan Nazrin

Tidak terima titah untuk menghadap Sultan Nazrin: Ahmad Faizal

IPOH, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak belum memohon untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berhubung pelantikan menteri besar yang baharu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menafikan menerima titah rasmi untuk menghadap Sultan Nazrin.

“Bersatu Perak ingin memaklumkan bahawa kami tidak menerima titah untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak secara rasmi daripada pihak Istana seperti mana dilaporkan oleh media massa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin menitahkan wakil daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan PAS negeri untuk menghadap baginda hari ini berhubung kemelut politik negeri.

Mohd Annuar dilaporkan berkata istana menunggu wakil daripada kedua-dua parti untuk menghadap Sultan Nazrin pada bila-bila masa bagi mendengar pendirian mereka tentang penubuhan kerajaan negeri yang baharu.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun kini berada di ibu negara kerana menghadiri sidang Dewan Rakyat, manakala PAS Perak pula dilapor membatalkan rancangannya untuk menghadap Sultan Nazrin atas arahan pucuk pimpinan parti.

Dalam pada itu, tiga pemimpin Pakatan Harapan Perak iaitu Pengerusi DAP Nga Kor Ming, Pengerusi Amanah Datuk Asmuni Awi dan Pengerusi PKR Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak telah menghadap Sultan Nazrin hari ini.

Bernama difahamkan pihak yang berkenaan perlu memohon perkenan untuk menghadap sebelum titah menghadap dikeluarkan oleh pihak istana.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Ahmad Faizal meletak jawatan Sabtu lepas setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercaya Ahli Dewan terhadap Menteri Besar semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Jumaat lepas.

Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 undi menyokong berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

Dewan Undangan Negeri Perak merangkumi 25 wakil Barisan Nasional, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button