2 maut, 30 hilang jambatan runtuh di India

NEW DELHI, 22 Syaaban 1438H, Jumaat – Dua terbunuh manakala 30 lagi hilang selepas sebuah jambatan runtuh di Goa barat India, kata seorang pegawai lapor agensi berita China, Xinhua.

Jambatan di sungai Sanvordem di kampung Curchorem di Goa Selatan itu runtuh pada Khamis petang.

“Kira-kira 50 orang dipercayai jatuh ke dalam sungai. Dua mayat mangsa ditemukan lewat malam dan usaha mencari mangsa yang hilang masih diteruskan,” kata seorang pegawai kanan polis.

Menurut polis, sebahagian mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi tebing sungai.

“Dikhuatiri terdapat mangsa terperangkap dalam runtuhan, jadi kita akan menjalankan operasi mencari di bawah runtuhan,” katanya.

Menurut penduduk tempatan, jambatan usang berkenaan telah ditutup kepada lalu lintas sejak empat tahun lepas.

Radio All India (AIR) pada Jumaat berkata, beberapa mangsa yang hilang dikhuatiri terkorban.

Menurut saksi, jambatan itu dipenuhi orang ramai menyaksikan pegawai bomba dan penyelamat sedang menyelamatkan seorang pemuda yang cuba membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *