RUU 355 dan Akta 164 – Malaysia Boleh!

 

HARI INI orang Islam atau pasangan Islam yang ingin berkhalwat dan tunggang arak di dalam bilik tertutup tidak perlu risau oleh kerana ada pihak yang kata tidak boleh mengendap (tajassus) perbuatan tersebut.

Pihak berkuasa atau jabatan agama Islam negeri pun tidak boleh buat siasatan atau “serbuan” sekiranya ada aduan tentang aktiviti khalwat atau minum arak oleh kerana itu adalah kebebasan peribadi dan hak asasi insan yang agama Islam atau agensi penguatkuasa atau kerajaan/pemerintah tidak boleh campur tangan.

Sekiranya berlaku kes-kes di mana (sebagai contoh sahaja) anak-anak perempuan, adik, kakak, isteri atau saudara perempuan kepada mana-mana ahli Parlimen, Menteri, Mufti, Tok Penghulu, Ketua Jabatan, Ustaz, Tok Guru, Ketua Cawangan, Ketua Pemuda, CEO, COO, pengarah, Guru Besar, Pengetua, Presiden, Pengerusi dan sebagainya berkhalwat (atau berzina) atau tunggang arak, maka mereka akan selamat.

Ini kerana tidak akan berlaku serbuan, tangkapan atau pendakwaan ke atas mereka, atas dasar tidak boleh mengendap dan akan melanggar hak asasi dan kebebasan peribadi si pelaku. Lebih-lebih lagi sekiranya si pelaku sudah mencapai umur 18 tahun ke atas.

Iman si pelaku juga adalah lebih tebal dari kulit bawang dan urusan dosa pahala adalah isu peribadi antara si pelaku dan Tuhannya. Yang lebih utama ialah hati si pelaku itu tetap istiqamah sebagai seorang Muslim.

Seandainya perzinaan itu mengakibatkan lahirnya seorang bayi (sebab tidak sempat gugurkan), maka anak tersebut harus di bin/binti kan kepada sang “ayah”, walaupun tanpa ikatan nikah yang “Syari’ah-compliant”.

Dan pasangan di atas tidak boleh disekat atau dihalang dari mengulangi perbuatan yang sama selepas itu.

Atas dasar ini sahaja, sepatutnya ada wakil rakyat atau ahli Parlimen yang membuat Usul Persendirian supaya dihapuskan terus Akta yang memperuntukkan hukuman penjara 3 tahun, denda 5 Ribu dan 6 kali sebatan.

Ini kerana Islam adalah rahmatun lil alamin, dan tujuan dari Syari’ah (Maqasid Syari’ah) ialah supaya tidak berlaku kezaliman dan untuk memertabatkan kemuliaan manusia (karamatul insan).

Lebih-lebih lagi ada “fatwa” yang masyhur bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam, tapi sekular.

Dan hak untuk menjadi murtad atau dibesarkan dalam suasana murtad atau dididik oleh ibu atau ayah yang murtad juga akan dilindungi oleh undang-undang. Ini kerana tidak ada paksaan di dalam agama Islam.

Saya percaya bahawa kumpulan G 25, SIS, kumpulan penulis Liberal Humanis sekular, Majlis Peguam, BEBAS, parti-parti politik pembangkang (dan sekutu-sekutu mereka), penggerak-penggerak Islam rahmatun lil alamin dan Penang Institute mungkin akan tertarik hati dengan simulasi senario dan hipotesis seperti ini.

Malaysia Boleh!

—————————

Sila rujuk pengertian atau takrif ‘sarcasm’ di dalam kamus sekiranya pembaca belum/tidak faham artikel di atas.

Muhammad Luttfi Abdul Khalid

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *