Militan Daesh tembak mati polis Perancis, dua cedera parah

PARIS, 24 Rejab 1438H, Jumaat – Seorang anggota polis mati ditembak di Champs-Élysées di Paris pada malam Khamis dalam satu serangan yang dilakukan oleh militan Daesh.

Dua lagi cedera parah.

Penyerang yang dikenal pasti anggota militan Daesh telah mati ditembak polis.

Jurucakap polis Paris, Johanna Primevert berkata, penyerang menyasarkan anggota polis yang mengawal kawasan berhampiran stesen kereta api bawah tanah Franklin Roosevelt di lokasi beli-belah popular dalam kalangan pelancong itu.

Pendakwa raya Paris, Francois Molins berkata, pihak berkuasa telah mengenal pasti penyerang berumur 39 tahun itu tetapi tidak mendedahkannya kepada umum.

Pihak berkuasa masih menyiasat sama ada dia mempunyai rakan subahat.

Sementara itu, militan Daesh mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.

Militan Daesh mengakui penyerang sebagai salah seorang tenteranya, menamakan beliau sebagai Abu Yousif Belgium.

Kejadian tembakan tersebut berlaku hanya tiga hari sebelum pusingan pertama pilihan raya presiden di negara itu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *