Dunia

Lagi tindakan biadab cemar al-Quran di Denmark

Wanita kelahiran Iran koyak naskhah al-Quran di depan kedutaan

COPENHAGEN, 20 Muharram 1445H, Isnin – Satu lagi serangan biadab ke atas al-Quran berlaku di Denmark apabila seorang wanita berkelahiran Iran bertindak mencemarkan kitab suci umat Islam di Copenhagen. 

Firoozen Bazrafkan bertindak mengoyakkan naskhah al-Quran di hadapan Kedutaan Iran pada Sabtu lalu.

Dengan memakai t-shirt bertulis ‘Wanita, Hidup dan Kebebasan’, dia berkongsi rakaman perbuatan keji ke atas al-Quran itu dan mentakrifkan tindakan provokatifnya itu kononnya sebagai persembahan seni.

Susulan perkembangan itu, Penasihat Presiden dan Duta Besar Turkiye, Akif Cagatay Kilic mengutuk serangan di Denmark dan menyifatkannya sebagai manifestasi kejam.

“Pencemaran kitab suci adalah manifestasi kejam dari sikap tidak bertoleransi dan tidak hormat, dan serangan ini tidak dapat dijelaskan oleh kebebasan berfikir,” katanya dalam kenyataan Twitter yang kini dikenali sebagai X.

Kilic berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen baru-baru ini, yang menegaskan gesaan untuk mencegah serangan sama berulang.

“Hasrat terbesar kami ialah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menamatkan serangan ini secepat mungkin dan memastikan insiden seperti itu tidak berulang,” katanya.

Terdahulu, Danske Patrioter’ – kumpulan ekstremis sayap kanan Denmark dan anti-Islam – bertindak mencemarkan al-Quran secara meluas di Copenhagen.

Dalam kejadian berasingan, seorang wanita Sweden turut mencemarkan al-Quran di Bromma, di bahagian barat Stockholm pada awal Khamis, di bawah perlindungan penuh polis Sweden.

Perbuatan keji itu telah mencetuskan kemarahan seluruh masyarakat Islam di seluruh dunia. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button