Arahan henti perniagaan waktu Maghrib di Kelantan libatkan bukan Islam dibincang semula


KOTA BHARU, 22 Rejab 1438H, Khamis
– Kerajaan negeri Kelantan akan berbincang semula berhubung arahan melibatkan bukan Islam agar menghentikan perniagaan pasar malam ketika masuk waktu Maghrib.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya sedia mengecualikan peniaga bukan Islam di kawasan yang mempunyai komposisi besar masyarakat itu.

Jelas beliau lagi, peraturan tersebut dibuat khusus kepada pasar malam memandangkan majoriti perniagaan jenis itu dijalankan di kawasan yang berjauhan dengan kemudahan solat.

“Kita sedia berbincang jika ada laporan dan permintaan daripada peniaga bukan Islam.

“Matlamat sebenar kita adalah memberi keselesaan kepada peniaga Islam yang menjadi majoriti peniaga pasar malam untuk menunaikan solat Maghrib memandangkan jangka waktunya yang pendek.

“Kita meminta peniaga menghentikan operasi hanya selama 10 minit sahaja selepas azan Maghrib dan saya yakin ini tidak menjejaskan perniagaan bahkan boleh menjadi tarikan pelancong,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Fattah berkata, arahan yang dikuatkuasakan semata-mata untuk memberi keselesaan kepada orang Islam khususnya peniaga menjalankan ibadah solat.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan terhadap kekeliruan yang cuba ditimbulkan sesetengah pihak berhubung peraturan yang menjadi dasar kerajaan negeri itu.

Katanya, peraturan yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dimulakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sejak 1995 lagi di pasar-pasar malam utama dan kemudiannya diperluaskan ke PBT lain pada 2005.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *