a
Terkini
13/12/2017, 1:39 am

FAM serah senarai pemain, pengadil kepada SPRM

KUALA LUMPUR, 24 Rejab 1438H, Jumaat – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyerahkan nama dan butiran peribadi pemain, pengadil dan pihak lain yang terlibat dalam industri bola sepak negara untuk pemantauan rapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Senarai itu diserahkan kepada SPRM dalam pertemuan pegawai tertinggi badan anti rasuah itu bersama Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Khamis malam.

Selain pemain dan pengadil perlawanan, turut disenaraikan adalah pegawai pasukan dan kakitangan di dalam FAM.

SPRM dalam kenyataannya, berkata, Tunku Ismail meminta suruhanjaya itu memastikan sukan bola sepak negara bebas rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM akan memberi sokongan serta komitmen penuh untuk memastikan sukan bola sepak negara yang melibatkan pemain, pengadil perlawanan serta pegawai sukan bersih serta bebas daripada anasir jenayah rasuah dan salah guna kuasa,” menurut suruhanjaya itu.

Tunku Ismail menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Azam Baki dan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.

Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

SPRM memaklumkan, agensinya menyokong penuh komitmen berterusan Tunku Ismail kepada suruhanjaya itu dalam memerangi dan menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa di negara ini, khususnya arena pembangunan sukan bola sepak tempatan.

“SPRM juga yakin dengan kepimpinan dan kewibawaan Tunku Ismail dalam menerajui FAM, yang pastinya akan membawa perubahan dan kegemilangan kepada pembangunan sukan bola sepak negara,” katanya.

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment