Wanita sudah istimewa tanpa perlu gerakan Feminisme

Wanita telah diciptakan dengan keistimewaan yang tersendiri. Wanita tidak sama seperti lelaki.

Firman Allah SWT:

“…وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالْأُنْثَىٰ…”

“…dan tidak sama anak lelaki dan anak perempuan…” (Surah Ali-Imran: 36)

Asal-usul kejadian wanita yang berbeza daripada lelaki telah memberi satu petunjuk bahawa setiap satu daripada jantina ini mempunyai peranan dan fungsi yang berbeza dan tersendiri. Allah telah menciptakan satu ruang khusus pada tubuh wanita yang tiada pada lelaki iaitu rahim. Di situ kehidupan manusia bermula dan singgah sebentar sebelum lahir ke dunia. Dengan rahim inilah zuriat dilahirkan dan manusia terus menerus berkembang biak di atas muka bumi.

Allah SWT telah mengangkat darjat wanita dengan memberikan fungsi istimewa dan tugasan yang amat berat ini hanya kepada golongan wanita. Pemilihan wanita sebagai punca warisan generasi manusia adalah lambang keagungan kurniaan Allah SWT terhadap mereka.

Kejahilan fakta asas bahawa peranan tersendiri pada seorang wanita ini telah membawa para feminis mempercayai bahawa kedua-dua jantina, lelaki dan wanita harus mempunyai kuasa yang sama, tanggungjawab yang serupa dan hak yang sama rata. Pada hakikatnya wanita sangat-sangat berbeza daripada lelaki. Bukan sahaja diciptakan rahim di tubuhnya, malah setiap satu daripada sel-sel tubuh wanita “menyatakan” ia adalah wanita.

Kehendak manusia tidak boleh mengatasi undang-undang fisiologi atau tubuh badan. Manusia perlu tunduk dengan apa yang telah dijadikan pada dirinya. Manusia perlu menerima apa adanya.

Malah manusia lebih-lebih lagi perlu tunduk dan patuh kepada Tuhan yang telah mencipta setiap sel dan organ dalam jasadnya!

Para wanita perlu sedar akan hakikat penciptaannya ini. Ada fungsi dan peranan tersendiri yang perlu dilaksanakan. Tidak perlu bersusah payah untuk berjuang demi mendapatkan kuasa dan melakukan tanggungjawab yang sama seperti lelaki.

Satu kata-kata yang pernah diungkapkan oleh seorang novelis dan pemenang Hadiah Nobel dalam bidang Sastera, William Golding dalam menggambarkan wanita yang menuntut kesamarataan dengan lelaki; “I think women are foolish to pretend they are equal to men, they are far superior and always have been”.

Cukuplah seorang wanita mengetahui bahawa ia sudah berada di kedudukan yang unggul dan istimewa serta mempunyai peranan tersendiri. Mengapa mahu menuntut hak dan tanggungjawab yang lebih lagi sedangkan peranan yang sedia ada masih belum terlaksana sepenuhnya?

Dr. Alexis Carrel, penerima Hadiah Nobel dalam bidang Fisiologi dan Perubatan pula pernah menulis:

“Women should develop their aptitudes in accordance with their own nature, without trying to imitate the males. Their part in the progress of civilization is higher than that of men. They should not abandon their specific functions”.

Wanita perlu membangunkan bakat, kebolehan dan kemampuan mereka selaras dengan nature (alam) dan asal usul penciptaan mereka tanpa cuba untuk meniru kaum lelaki. Peranan wanita dalam kemajuan tamadun dan membentuk perabadan pada hakikatnya adalah lebih besar berbanding lelaki.

Ini kerana wanita melahirkan dan menbentuk generasi. Seorang wanita adalah ibu yang mengasuh dan mendidik anak-anak. Wanita tidak boleh mengenepikan peranan utamanya ini. Sumbangan dalam melaksanakan fungsi khusus ini juga tidak boleh ditolak dan dinafikan.

Namun adakah dengan memahami fungsi utama ini bermakna wanita hanya menjadi “kilang manusia” dan tidak lebih dari sekadar itu?

Tidak benar sama sekali. Islam sangat memuliakan wanita dan tidak pernah mengongkong atau memberi limitasi ruang buat wanita dengan hanya menjadi isteri dan ibu di rumah. Apabila seorang isteri dan ibu memberi fokus pada rumah tangga, ia bukan bermakna wanita itu terpinggir dan tidak melibatkan diri dalam masyarakat.

Sekiranya fungsi khusus dan tanggungjawab utama ini dilunaskan, tiada halangan bagi seorang wanita itu keluar untuk memenuhi apa sahaja keperluan dengan syarat menjaga aurat dan mendapat keizinan suami serta memelihara batasan syarak yang lain.

Sejarah Islam telah membuktikan bahawa wanita turut berperanan di luar rumah antaranya Rufaydah binti Saad Al-Aslami yang menjadi jururawat di medan perang dan Al-Syifa’ binti Abdullah yang dilantik menjadi muhtasib (pengawas) di pasar pada zaman Umar Al-Khattab. Ingatlah juga bahawa Saidatina Khadijah RA adalah seorang ibu kepada 6 orang anak bersama Rasulullah SAW dan beliau turut dikenali sebagai tokoh usahawan wanita yang berjaya!

Walaubagaimanapun, apabila diberi penekanan tentang fungsi utama seorang wanita iaitu memberi tumpuan pada rumah tangga, ia bukan bermakna para lelaki berlepas tangan dan langsung tidak mengambil tahu perihal keluarga dan anak-anak. Bahkan tanggungjawab para lelaki lebih besar kerana dialah seorang suami dan bapa yang menjadi ketua keluarga. Allah SWT berfirman:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang solehah, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)…” (Surah An-Nisa:34)

Rasulullah SAW juga bersabda dalam Khutbah al-Wada’ yang bermaksud:

“Wahai manusia! Sesungguhnya bagi kamu ke atas isteri-isteri kamu satu tanggungjawab dan bagi mereka ke atas kamu satu tanggungjawab. Sesungguhnya kamu mengambil mereka sebagai satu amanah daripada Allah…”

Rasulullah seharusnya dijadikan contoh teragung oleh para lelaki dalam melaksanakan tanggungjawabnya kepada keluarga. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang maksudnya: Aisyah RA pernah ditanya oleh seorang lelaki yang bernama Al-Aswad bin Yazid tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika dalam rumahnya. Maka Aisyah menjawab: Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat.

Justeru, para lelaki dan wanita perlu jelas dengan peranan dan bidang tugas mereka yang tersendiri. Allah SWT telah menetapkan tanggungjawab setiap individu sesuai dengan fitrah dan kemampuan masing-masing. Islam amat mementingkan keadilan dan kesaksamaan, bukan kesamarataan. Para lelaki dan wanita hakikatnya diciptakan dengan fungsi yang berbeza untuk saling melengkapi dan saling menyempurnakan antara satu sama lain. Para lelaki dan wanita juga saling bantu-membantu dalam urusan dunia dan memenuhi tuntutan agama.

Buat para wanita, patuhi segala titah Tuhanmu dan sedarilah fungsi dan perananmu yang sebenar, sesuai dengan fitrah penciptaanmu yang begitu istimewa.

Kembalilah pada apa yang dikata oleh agama bukan mendengar rontaan jiwa yang ingin dipenuhi kehendaknya tanpa batasan.

Kerana matlamat hakiki bukan hanya kehidupan yang bahagia di dunia ini. Ada syurga yang kita rindui untuk mencium harumannya dan tinggal di dalamnya bersama orang-orang yang kita cintai selama-lamanya.

Sesungguhnya seorang wanita itu tidak susah untuk masuk syurga.

“Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadan, memelihara maruahnya dan taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki” (Hadis riwayat Ahmad dan Tabrani).

Itu janji Nabi.

Rujukan:

Al-Quran Al-Karim
Sahih Al-Bukhari & Muslim
Sirah Ibnu Hisham
“Islam Dan Wanita”, Prof. Madya Dr. Abdullah Alwi b. Haji Hassan, Jurnal Usuluddin
“Man, the Unknown”, Dr. Alexis Carrel
Ustazah Nur Fatin Halil

Sumber: http://muis.org.my/2016/08/wanita-sudah-istimewa-tanpa-perlu-gerakan-feminisme/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *