Wanita perlu kuasai kemahiran digital

SERDANG, 21 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Golongan wanita perlu memperkasakan diri dengan pelbagai kemahiran digital, bukan sekadar tahu membuat pembelian dalam talian, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Katanya, antara bidang yang perlu diterokai kaum wanita di Malaysia ialah analisis data besar dan algoritma penukaran data.

“Malaysia memerlukan lebih ramai wanita yang mempunyai kemahiran¬†membangunkan aplikasi telefon bimbit yang baharu dan dapat membantu masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Embracing Digital Era: Roles of Women’ pada program CEO@Faculty di Universiti Putra Malaysia, di sini hari ini.

Sharifah Zarah berkata, tanpa mengira usia dan latar belakang, wanita Malaysia perlu peka dengan pembangunan dunia komputer supaya mereka tidak tercicir dan ketinggalan dalam arus pembangunan dunia digital.

Dalam syarahannya yang dihadiri oleh 120 pelajar tahun akhir Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,beliau berkata golongan wanita perlu berdikari dan kukuh dari segi ekonomi selain berpendidikan.

“Dengan cara ini seseorang wanita itu boleh memiliki keyakinan diri yang tinggi,” katanya yang turut berkongsi pengalaman ketika berkhidmat di
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Sharifah Zarah berkata, wanita Malaysia bermula perlahan namun tetap mencapai sasaran.

Beliau juga berkata, masih wujud diskriminasi secara tidak langsung terhadap wanita.

Progam CEO@Faculty dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bagi melahirkan siswazah yang seimbang dari segi moral dan pengetahuan, berpandukan nilai-nilai yang baik. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *