Umat Islam telah berzaman menolak fahaman sesat “Quranis”

Musuh Islam selama-lamanya tidak akan membenarkan Islam terus berkembang dengan aman. Mereka akan lakukan apa sahaja demi memastikan kehendak wahyu itu tidak menewaskan kehendak hawa nafsu yang menjadi pengangan mereka. Hakikatnya atas sebab inilah menjadi asas pertembungan antara Islam dan mereka yang memusuhinya.

وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَہُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَ‌ۖ

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. (Surah Al-Maidah: 49)

Dalam memastikan hawa nafsu ini terus menang mereka akan melakukan apa sahaja samada serangan dalam bentuk berhadapan iaitulah fizikal yang kita saksikan iaitu sejak daripada zaman Baginda saw iaitu saat dilaungkan seruan syahadah yang pertama di atas gunung Safa. Bermula daripada situ serangan berbentuk fizikal ini tidak pernah berhenti hinggalah kepada siri-siri peperangan yang bertujuan memadam cahaya langit ini.

Selain itu, terdapat satu bentuk serangan lain yang dilakukan terhadap umat Islam iaitu serangan berbentuk secara tidak langsung atau pun boleh dikatakan berbentuk dalaman. Ianya juga bermula seawal zaman Nabi saw sendiri iaitu dengan munafik, nabi palsu yang keduanya mempunyai matlamat yang sama iaitu memastikan kuasa hawa nafsu terus menguasai muka bumi ini.

Serangan tersebut tidak berhenti setakat itu, bahkan pada zaman sahabat dan tabien serangan dalam bentuk dalaman ini semakin hebat. Jika di zaman nabi ianya sekadar hasutan kata-kata belakang untuk memecahbelahkan umat namun di zaman selepas itu mereka ini bergerak sehingga memesongkan kefahaman-kefahaman asas umat Islam itu sendiri. Asas aqidah, asas usul fiqh yang selama ini menjadi perkara yang disepakati (ijma’) dikalangan umat Islam dirungkai satu per satu.

Maka ketika itulah wujudnya salah satu kelompok yang mereka namakan diri mereka sebagai “Quranis”. Kelompok ini wujud kerana mereka sendiri percaya bahawa umat ini tidak akan sesat selama mana berpegang kepada dua sumber utama : Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi untuk merosakkan umat ini mereka merancang untuk merosakkan sumber pensyariatan yang menjadi pengangan umat ini.

Kerana mereka mendapati Al-Quran itu terlalu kuat dan jelas sumbernya maka mereka memilih untuk memesongkan kefahaman As-Sunnah antaranya kerana atas dasar bilangan hadis yang terlalu luas serta peranannya yang banyak memberi penjelasan kepada kaedah-kaedah dan amalan syarak yang dinyatakan secara umum di dalam Al-Quran. Mereka tahu syariat ini akan menjadi tempang saat As-Sunnah diabaikan.

Usaha seperti ini sudah bermula sejak kurun ke-2 hijrah itu sendiri, Imam as-Syafie sendiri menceritakan dalam kitab Jami’ al-Ilm bagaimana telah wujudnya kelompok ini pada zaman tersebut. Mereka menggunakan hujah-hujah yang sama seperti mana golongan quranis gunakan pada hari ini. Hujah bahawa Al-Quran itu telah sempurna tanpa hadis, hujah bertembungnya Al-Quran dan Hadis, hujah cara periwayatan hadis yang meragukan yang kesemuanya telah dijawab oleh ulama-ulama terdahulu sejak ribuan tahun yang lalu.

روى الإِمَام الشَّافِعِي رَضِي الله عَنهُ يَوْمًا حَدِيثا وَقَالَ إِنَّه صَحِيح فَقَالَ لَهُ قَائِل: أَتَقول بِهِ يَا أَبَا عبد الله؟، فاضطرب وَقَالَ: “يَا هَذَا أرأيتني نَصْرَانِيّا؟ أرأيتني خَارِجا من كَنِيسَة؟ أَرَأَيْت فِي وسطي زناراً؟ أروي حَدِيثا عَن رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم وَلَا أَقُول بِهِ”

Telah datang seorang lelaki kepada Imam As Syafie bertanya tentang satu hadis, Imam Syafie menjawab: Ianya sohih, kemudian orang tersebut berkata: Apa yang engkau katakan ini? Lalu Imam Syafie memukul lelaki tersebut lantas berkata: adakah engkau dapati aku ini yahudi? Adakah engkau melihat aku keluar daripada gereja? Adakah engkau melihat aku memakai pakaian yahudi? Aku hanya menyampaikan hadis Rasulullah saw dan bukan aku katakannya. (Kitab Miftah al-jannah fi al-i’tisam bi-al-sunnah)

Kata Imam al-Syafie lagi: Apabila ada hadis sahih sedangkan aku tidak mengambilnya (sebagai sandaran hukum) maka ketahuilah bahawa waktu itu akalku sudah pergi (jadi gila/bodoh). (Rujuk: Tazkirat al-Huffaz, 1/362)

Bahkan ulama sejak daripada zaman dahulu lagi telah menyatakan kelompok yang membawa kefahaman songsang ini bukanlah daripada umat Islam.

الإمام أبو محمد بن حزم رحمه الله ” ولو أن امرأً قال : لا نأخذ إلا ما وجدنا في القرآن ؛لكان كافرًا بإجماع الأمة

Ibnu Hazm menyebut: Jika seseorang itu berkata kami tidak akan mengambil kecuali apa yang ada dalam Quran maka dia telah menjadi kafir pada sisi ijma’ umat Islam. (kitab al-Ahkam)

لإمام السيوطي رحمه الله : ” من أنكر كون حديث النبي قولاً كان أو فعلاً – بشرطه المعروف في الأصول – حجة كفر وخرج من دائرة الإسلام

Imam As-Suyuti menyebut: Sesiapa yang mengingkari hadis nabi samada ada pada kata-kata atau perbuatan maka dia telah kufur dan terkeluar daripada Islam. (kitab Miftah al-Jannah)

Bukanlah tujuan tulisan ringkas ini untuk menjawab satu persatu hujah yang dinyatakan oleh mereka, kerana hakikatnya sudah banyak ulama sejak berzaman lagi dalam pelbagai kitab telah menjawab kesemua hujah-hujah mereka. Tulisan ini hanyalah untuk menunjukkan kewujudan kelompok seperti ini bukanlah baru, mereka menggunakan hujah yang sama berulang-ulang kali walaupun hujah mereka itu jelas lemah.

Keadaan ini juga menunjukkan apa yang dicari oleh mereka dalam hujah-hujahnya bukanlah kebenaran tetapi ianya adalah kefahaman yang cuba disuntik kedalam jiwa umat ini bagi merosakkan agama ini. Mereka ini adalah rantaian kepada kumpulan musuh Islam yang selama ini cuba merosakkan Islam daripada dalam. Mereka adalah bala’ kepada umat ini.

وقال الشيخ ابن باز رحمه الله :” هؤلاء المتأخرون المنكرون للسنة أتوا منكرا عظيما ، وبلاء كبيرا ، ومعصية عظيمة ،

Berkata Syiekh Abdullah bin Baz: Mereka ini iaitu golongan yang menolak hadis sebenarnya telah melakukan mungkar yang sangat besar, bala’ yang sangat hebat (terhadap umat) dan maksiat yang besar (kepada Allah dan Rasul).

Kini kelompok yang sama jugalah mula wujud di Malaysia, mereka mempertikaikan solat jumaat, menolak hudud dan pelbagai perkara lagi menggunakan asas kononnya ianya tidak ada di dalam Al-Quran. Hakikatnya kelompok ini bukanlah memperjuangkan Al-Quran seperti yang mereka katakan, tetapi mereka ini adalah kelompok yang cuba meruntuhkan syariat.

Segala hujah-hujah yang mereka perkatakan telah lama di jawab oleh ramai ulama terdahulu dan masakini yang sudah mencukupi. Jadi bagi saya adalah membuang masa bagi kita untuk melayan kelompok seperti ini kerana apa yang mereka mahukan bukanlah jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan tetapi mereka mahukan kekeliruan dan perpecahan sesama umat Islam itu sendiri.

Rasulullah saw sendiri telah mengingatkan kita akan kewujudan kelompok seperti ini saat Baginda masih hidup lagi berdasarkan sebuah hadis:

يوشك أن يقعد الرجل متكئاً على أريكته يحدث بحديث من حديثي فيقول بيننا وبينكم كتاب الله ، فما وجدنا فيه من حلال استحللناه ، وما وجدنا فيه من حرام حرمناه ، ألا وإن ما حرم رسول الله مثل ما حرم الله

‘Akan datang (suatu zaman) apabila ada orang yang bersandar di tempat duduknya, meriwayatkan sebuah hadith daripada hadith aku, lalu kemudian dia berkata; ‘Antara kami dan kamu ialah kitab Allah, apa yang kami dapati di dalamnya halal maka ianya halal dan apa yang kami dapati di dalamnya haram maka kami akan haramkannya. Ketahuilah, sesungguhnya apa yang diharamkan oleh Rasulullah adalah sama dengan apa yang diharamkan oleh Allah.’ [Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim]

Moga umat ini terus terpelihara daripada fitnah dan kesesatan yang dibawa oleh kelompok ini.

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *