Ulangtahun ISMA Ke 20: Coretan seorang ahli berusia lebih setengah abad

ISMA kini bukan sekadar satu nama atau jenama. Ia sudah menjadi ikon dan milik Ummah.

Asalnya, saya tidak mahu menulis tentang sosok tubuh satu organisasi yang bernama ISMA yang yang menjadi ahlinya sejak awal penubuhan NGO sederhana ini.

Bagaimanapun, memandangkan ISMA bakal meraikan hari ulangtahunnya yang ke-20 pada bulan Julai ini, dan berlatarbelakang Mesyuarat Agung Tahunan ISMA yang akan berlangsung esok (18hb Mac 2017) di Dewan Muktamar Pusat Islam, yang merasa perlu untuk mencurahkan serba sedikit renungan saya terhadap pertubuhan yang telah mencipta nama yang amat cemerlang, baik di dalam mahupun di luar negara.

Paling tidak, saya telah berhasil meluahkan apa yang terbuku di hati tentang pengalaman bersama ISMA …
—————————
Padang FRIM yang bersejarah …
Idea tentang ISMA mula disuarakan di dalam satu piknik santai melibatkan beberapa individu. Di tengah-tengah suasana damai dan nyaman sambil disapa oleh hembusan angin dingin Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada awal tahun 1997.

Format dan konsep YMCA yang dicadangkan sebagai model yang sesuai dijadikan blueprint bagi organisasi untuk menampung keperluan interaksi sosial keluarga dan masyarakat untuk kumpulan Melayu pertengahan telah diterima setelah melalui sesi perbincangan. Format ini dicadangkan oleh sebab ia mempunyai progrem-progrem yang sesuai untuk sesebuah keluarga, dari sekecil kanak-kanak hinggalah kepada orang tua.

Pilihan nama Siswazah adalah kerana dirasakan bahawa golongan siswazah (pada ketika itu) merupakan segmen masyarakat yang amat berpengaruh di kalangan masyarakat Islam dan kebanyakan keluarga Melayu/Muslim di bandar-bandar besar dan tempat-tempat lain lazimnya terdiri dari pasangan lepasan institusi-institusi pengajian tinggi.

Kewujudan rumah kelab (Clubhouse) pelbagai-fungsi ISMA adalah satu cita-cita sejak dari awal dan kini alhamdulillah, impian itu terlaksana melalui pusat-pusat komuniti yang mula dibangunkan oleh ISMA di seluruh negara.

Selepas pertemuan bersejarah itu, dan sebagai sebuah pertubuhan bukan-kerajaan (NGO), ISMA mula berkembang secara perlahan di mana zaman awalnya lebih terfokus untuk memperkukuhkan struktur organisasi, merumuskan sasaran-sasaran kerja, latihan dan penyelarasan berorganisasi.

Terdapat satu kisah menarik ketikamana saya pergi di kaunter Pejabat Pendaftaran Pertubuhan untuk mendaftarkan permohonan untuk menubuhkan ISMA. Seorang kerani perempuan bertudung labuh bertanya kenapa hendak tubuhkan satu NGO Islam lagi sedangkan sudah ada NGO Islam lain bernama “X”?

Saya menjawab bahawa meskipun NGO “X” itu seumpama sebuah minimarket, masih terdapat pasaran bagi sebuah kedai runcit baru untuk bersaing secara sihat demi memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Kerani itu tersenyum, dah alhamdulillah ISMA didaftarkan selepas Empat bulan kemudiannya. Saya mendapat tahu kemudiannya bahawa NGO “X” tersebut beberapa belasan tahun kemudiannya telah “tutup kedai”.

Maka berlalulah tahun demi tahun, berselang musim demi musim. Pucuk muda yang berasal dari percambahan santai di FRIM mula membesar, dipupuk dan dibajai dengan penuh perhatian dan kasihsayang oleh sang penjaga silih berganti, ada di antara penjaga-penjaga tersebut yang masih kekal dan ada yang membuat pilihan untuk berbakti di tempat lain. Namun, benih-benih baru mula ditanam di tapak-tapak semaian lain dan secara tabiinya mula membesar.

Benih yang mula ditanam dan disemai lebih kurang 20 tahun lalu kini sudah meningkat dewasa dan telah berjaya menerokai tapak-tapak baru, diperkuatkan dengan eksplorasi dan pengalaman yang semakin mematangkan.

Cawangan-cawangan ISMA sudah mencapai lebih dari 30 semuanya, di dalam mahupun luar negara, Alhamdulillah.

Saya perlu tegaskan bahawa ISMA tidak lahir dari rahim mana-mana parti politik, atau dari kekecewaan terhadap organisasi/pertubuhan lain atau dari perancangan/keizinan pihak lain. Ia juga bukan milik mana-mana pertubuhan lain.

Sebaliknya, ISMA lahir dari kesedaran terhadap keperluan mengisi satu kelompongan (vacuum) yang melingkungi masyarakat Melayu beragama Islam dari segi agenda kesepakatan dan perjuangan untuk memertabatkan bangsa dan ummah.
———————————————
Agenda-agenda Unik…

Ketikamana ISMA memperkenalkan agenda Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB), masyarakat khususnya orang-orang Melayu, parti-parti politik dan kumpulan-kumpulan Melayu/Islam “tersentak”.

Kecaman, kriktikan, perlian-perlian sinis dan meremehkan (dan tidak kurang juga sikap skeptikal di kalangan sebahagian ahli) menghujani ISMA. Namun, ketegasan kepimpinan ISMA untuk bertahan dan beristiqamah dengan slogan ini, diiringi dengan dalil-dalil penjelasan, pencerahan dan bukti-bukti sejarah akhirnya berjaya menambat hati ahli dan penggerak-penggerak ISMA khususnya dan bangsa Melayu secara amnya.

Perpecahan, krisis identiti bangsa, pertelingkahan politik, kekeliruan dalam pemahaman tentang peranan dan relevensi bangsa dalam perjuangan Islam, ancaman-ancaman semasa dan strategi dan muslihat musuh akhirnya berjaya membuka ruang kepada penerimaan slogan MSIB di kalangan masyarakat.

Kemudian, ISMA memperkenalkan lagi satu slogan lain – Membangun Ummah Beragenda, sebagai pengukuh, penerus, penyambung dan pengikat kepada MSIB.

Dalam ertikata lain, ummah dan masyarakat Islam yang telah bersepakat, bersatu, bersaudara dan bersefahaman ini tidak boleh dibiarkan atau diabaikan begitu sahaja. Sosok tubuh bangsa Melayu ini perlu diisi dengan satu agenda dalam hidup mereka sebagai ummah yang tidak dibangkitkan secara sia-sia.

Keadaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan sekian banyaknya agensi-agensi ISMA sebagai satu penterjemahan dan wasilah/medium perjuangan ISMA. Masing-masing saling memperkuatkan dan membuktikan keseriusan dan keperihatinan ISMA terhadap masyarakat, bangsa dan umat.

ISMA sekali lagi melakukan “kejutan” dengan menghantar beberapa ahlinya untuk bertanding di dalam Pilihanraya Umum di bawah tiket parti Berjasa. Penglibatan ini menjadi satu pengalaman baru kepada setiap lapisan ahli dan kepimpinan ISMA, membungkam mulut para pengkritik ISMA kononnya ISMA tidak memiliki keberanian untuk mengotakan apa yang diperjuangkan secara retorikal.

Jumlah undi yang tidak sedikit juga membuka mata masyarakat bahawa ISMA meupakan satu “game changer” meskipun bukan sebuah pertubuhan politik dan tidak terlibat dalam aktiviti politik kepartian.

Slogan supaya para pengundi memilih “”Calon Muslim Berwibawa” telah berjaya membawa pengertian baru kepada para pengundi bahawa terdapat alternatif lain yang lebih positif di dalam iklim politik dan persaingan politik yang lazimnya diwarnai oleh pengkhianatan, perebutan kuasa, rasuah dan amalan-amalan yang menyalahi adab dan akhlak.

Pengalaman terlibat dalam pilihanraya telah membuka perspektif baru di dalam beramal dan berinteraksi dengan masyarakat. Ia juga membuka peluang untuk menterjemahkan kefahaman, keyakinan dan keperihatinan ahli-ahli ISMA sendiri dalam isu-isu tempatan dan bagaimana mengaplikasikan matlamat-matlamat ISMA secara praktikal.

Semua ini berlaku tanpa mengorbankan sedikitpun prinsip, dasar atau tunjang perjuangan ISMA. ISMA tidak pernah berkompromi dalam berprinsip dan dalam perkara-perkara dasar, tapi tidak pernah menolak untuk menghargai dan menerimapakai mana-mana nasihat, penemuan, strategi atau pendekatan, selagimana tidak bertentangan dengan Syara’ dan tidak melanggar prinsip dan dasar ISMA.

ISMA juga menjadikan aspek pendidikan ahli-ahli dan pimpinannya dari sudut kefahaman Islam sebagai satu dasar yang sangat fundamental dan tidak boleh dikompromikan pada mana-mana peringkat perjalanan atau mana-mana kedudukan ahli atau pimpinannya.

Justeru itu, pembaca akan melihat kepada ketegasan ISMA dalam isu-isu melawan ajaran Syi’ah, ideologi-ideologi Liberal/hak asasi Barat, agenda Kristianisasi dan Evangelisma, gerakan Islam Liberal, percubaan untuk menghapuskan Islam dari Perlembagaan dan juga muslihat untuk merosakkan jatidiri bangsa Melayu.

Tidak ketinggalan pendirian ISMA terhadap parti-parti politik yang membawa agenda perjuangan yang membawa nada perjuangan yang serupa seperti di atas.

Program-program pengisian ruhi dan aspek-aspek pemeliharaan hubungan dengan Allah serta pegangan yang kukuh terhadap sendi-sendi utama Islam tidak syak lagi adalah antara kaedah berkesan untuk mengawal dan memelihara ahli-ahli, kepimpinan dan tubuh ISMA sendiri dari terpengaruh atau terkesan dengan ancaman-ancaman luar dan dalam serta serangan ideologi-ideologi pemusnah.

Bagaimanapun saya tidak mengatakan atau mendakwa ahli dan kepimpinan ISMA sebagai maksum.
———————————————
Wajah-wajah ahli ISMA yang saya saksikan …

Sekiranya saya boleh menyimpulkan sosok wajah ahli-ahli ISMA secara ringkas, saya akan letakkan pada Tiga paksi umum dan Satu paksi istimewa.
Paksi Perintis/Pendahulu – Ahli-ahli ISMA yang senior dari kalangan para pemimpin dan bukan-pemimpin.

Mereka memilki pengalaman yang sangat berharga dan bernilai dan tidak semua mereka aktif di media sosial. Mereka bekerja secara diam, membimbing dan mencurahkan pengalaman-pengalaman berharga mereka. Mereka kaya dengan kemahiran dalam membentuk rijal dakwah dan aktivis yang berwawasan.

Paksi Pemuda/Mahasiswa – Inilah generasi masakini dan penjemah kepada semangat perjuangan ISMA yang berkobar-kobar. Wajah dan rupaparas ISMA semakin menawan (dan kadang-kadang mengancam) lawan dan kawan. Kecekapan dan ketrampilan dalam teknologi dan perkembangan terkini lazimnya dipasangkan dengan ketangkasan dan kelasakan dalam beramal dan berorganisasi.

Paksi Penerus Masadepan – Inilah generasi anak-anak ahli-ahli ISMA yang membesar di dalam suasana dan kalangan Paksi Pemuda/Mahasiswa. Inilah anak-anak yang ketika lahir ke dunia sahaja sudah disambut oleh NAZIM, lalu dibesarkan di bawah asuhan KRIM untuk mendewasa dalam dakapan PGH.

Paksi Istimewa – Wanita ISMA. Kumpulan ini adalah belahan jiwa ISMA, yang tanpanya ISMA tidak akan mampu bertapak lebih jauh. Peranan Wanita ISMA tidak boleh diperkecilkandan tidak pernah dipandang rendah oleh ahli-ahli dan pimpinannya.

Mereka beramal dalam iklim dan konteks tersendiri, menyerlahkan keunikan dan kecemerlangan yang membanggakan sekali, baik dari segi ketokohan kepimpinan Wanita ISMA nahupun kejayaan-kejayaan yang telah ditempa.

Lalu, apa lagi yang saya hendak katakan kepada ahli-ahli ISMA? Tidak ada yang baru melainkan apa yang telah dipesan oleh para pujangga dan pemimpin-pemimpin terbilang umat ini:

Ikhlaskanlah niat kalian dan kita semua dalam beramal.
Keluarkanlah kepentingan diri dan hindarilah hawanafsu.
Berlaku jujurlah kepada perjuangan.
Peliharalah aqidah, ibadah dan ukhuwwah kalian.
Buanglah segala ego, kepentingan diri dan kesombongan.
Utamakanlah disiplin berpasukan dan berorganisasi.
Ambillah pengalaman dari para pendahulu dan hormatilah mereka.
Hiruplah dan tiuplah semangat kepemudaan.
Persediakanlah generasi pelapis dengan ilmu dan keyakinan.
Muliakan para Wanita dan letakkanlah mereka ditempat yang dihargai.
——————————
Akhir kata …

Generasi perintis dan pendahulu tidak akan hidup selama-lamanya. Mereka yang sarat dengan pengalaman dan ibrah-ibrah berharga perlu mewariskan sejarah dan pengalaman mereka kepada generasi maskini. Dan obor perjuangan ini hendaklah disemarakkan dan jangan dibiar padam. Ini kerana generasi masakini perlu mempastikan pegangan sinar dakwah ini disambut oleh generasi penerus dan pewaris. Dunia sentiasa berubah dan ancaman-ancaman baru akan menggantikan ancaman-ancaman lama yang sudah kecundang.

Bersedialah dengan peranan dan amanah kalian.

Sepanjang Tempoh 20 tahun lalu, ISMA sudah memacak Manhajnya.

Pada dekad ini dan mendatang, ISMA akan melakar masa depannya …
Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd!

Mohd Luttfi Bin Abdul Khalid

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana dan ia juga tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

3 thoughts on “Ulangtahun ISMA Ke 20: Coretan seorang ahli berusia lebih setengah abad

  1. Saya menyokong ISMA kerana ISMA bersikap berani, jujur dan ikhlas memperjuangkan dan membela agama Islam dan hak umat Islam termasuk orang Melayu. Saya amat berharap lebih banyak NGO Melayu @ Islam akan mengikut ISMA .

    Saya akan memohon untuk menjadi ahli ISMA dan meneruskan tradisi dan perjuangan ISMA membela agama Islam dan hak umat Islam termasuklah orang Melayu apabila tiba masanya nanti.

    Buat masa ini saya hanya mampu menulis komen untuk menyokong dan membela agama Islam dan hak umat Islam. Selepas ini saya mungkin akan membuka laman web sendiri dan menulis buku dalam Bahasa Inggeris dan Melayu untuk membela agama Islam dan hak umat Islam.

    Tabik hormat untuk ISMA dan pejuang-pejuangnya. Semoga Allah memberkati perjuangan murni ISMA. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *