Suruhanjaya rasuah gesa pegawai kerajaan isytihar hadiah Raja Salman

JAKARTA 10 Jamadilakhir 1438H, Sabtu– Suruhanjaya Penghapusan Rasuah Indonesia (KPK) mengarahkan pegawai kerajaan mengisytiharkan semua hadiah yang diterima daripada Raja Arab Saudi, Salman bin Abdul Aziz.

Mengikut undang-undang negara, tindakan itu perlu bagi mengelakkan sebarang tuduhan jenayah.

Pengarah KPK, Giri Suprapdiono berkata, pegawai kerajaan mesti mengisytiharkan sebarang hadiah yang diterima kepada KPK dalam tempoh 30 hari.

Katanya, hadiah daripada tetamu kerajaan adalah perkara biasa yang membantu mengekalkan hubungan antara dua negara.

Bagaimanapun, Indonesia, seperti kerajaan negara lain, menetapkan pegawainya mengisytiharkan atau melaporkan sebarang hadiah yang diterima selaras dengan tugas mereka sebagai pegawai awam.

“Jika yang menerima hadiah itu tidak mengisytihar atau melaporkannya dalam masa 30 hari, hadiah itu dianggap rasuah,” katanya.

Peraturan menerima hadiah daripada pemimpin negara ditetapkan dalam Undang-Undang Penghapusan Rasuah 2001.

Berdasarkan undang-undang itu, pegawai kerajaan yang gagal mematuhi peraturan akan berdepan hukuman penjara empat hingga 20 tahun dan denda sehingga Rp1 bilion (RM333,000).

Setakat ini, lima pegawai kerajaan terdiri daripada tiga menteri, seorang gabenor wilayah dan Ketua Polis Indonesia, Jenera Tito Karnavian mengistiharkan hadiah yang mereka terima daripada Raja Salman ketika dia melawat negara itu awal bulan ini. -Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *