SPRM siasat penguatkuasa terima ribuan ringgit sebulan lepaskan lori bermasalah

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap penguatkuasa yang dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah dan salah guna kuasa melepaskan lori yang melanggar undang-undang.

Sumber berkata, perbuatan yang bebas beroperasi di jalan raya itu adalah satu perkara yang serius kerana secara tidak langsung boleh membahayakan nyawa pengguna lain.

“Isu pengusaha syarikat lori yang melanggar undang-undang bukan perkara baharu namun masih terdapat pihak yang menutup sebelah mata demi kepentingan diri sendiri walaupun mengetahui perbuatan itu boleh mengundang kejadian-kejadian yang tidak diingini.

“Jika tindakan drastik tidak diambil, dikhuatiri gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa semakin parah,” katanya di sini, hari ini.

Media melaporkan terdapat penguatkuasa yang meminta atau menerima RM200 hingga RM300 sebulan bagi melepaskan sebuah lori yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1957 termasuk tiada insurans dan cukai jalan.

Sekumpulan penguatkuasa ini melakukan perkara sedemikian bagi mendapatkan pendapatan sampingan daripada pengusaha-pengusaha syarikat lori yang kenderaan milik mereka bermasalah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan pihaknya sedang menyiasat penguatkuasa yang gagal memikul tanggungjawab dan melindungi individu atau syarikat melanggar undang-undang.

“Sehubungan itu, saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan sedemikian agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan SPRM,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *