Rasuah: SPRM tahan empat pegawai polis

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat polis termasuk seorang pegawai dalam dua kes berasingan kerana melakukan salah laku rasuah di Kulim, Kedah dan Raub, Pahang, hari ini.

Dalam kes pertama, seorang sarjan mejar dan koperal polis ditangkap kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan mereka untuk meminta dan mengambil wang rasuah daripada pengusaha-pengusaha pengangkutan lori.

Kedua-duanya yang berusia 57 dan 53 tahun masing-masing ditangkap di Kulim, Kedah antara jam 9 pagi dan 10 pagi tadi.

Sumber berkata, kedua-duanya disyaki telah meminta dan mengambil wang rasuah berjumlah antara RM850 dan RM900 secara bulanan daripada beberapa pengusaha pengangkutan lori.

“Pengusaha-pengusaha lori diminta untuk membayar wang rasuah itu sebagai balasan supaya tidak dikenakan saman atas beberapa kesalahan lalu lintas yang didapati sering dilakukan mereka.

“Antara kesalahan-kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan adalah lori tidak mempunyai insuran perlindungan, tiada cukai jalan, dan kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1957,” kata sumber.

Manakala dalam kes kedua pula, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan seorang koperal polis ditahan kerana dipercayai bersekongkol dengan peniaga-peniaga air ketum dengan mengambil rasuah sebagai wang perlindungan.

Suspek berpangkat Inspektor itu ditangkap di Raub, Pahang manakala suspek kedua ditangkap di Pulau Pinang pada jam 9 hingga 1 tengah hari, hari ini.

Kedua-duanya berusia 33 dan 31 tahun.

Sumber berkata, mereka disyaki mengambil rasuah berjumlah antara RM2,000 antara RM3,500 daripada pengusaha-pengusaha air ketum ini yang disyaki melanggar undang-undang mengikut seksyen 30 (3) Akta Racun 1952

“Peniaga air ketum ini dipercayai mampu memperoleh pendapatan bersih sehingga RM350 sehari dan mereka dipercayai sanggup untuk membayar wang perlindungan itu,” katanya.

Kedua-dua penahanan membabitkan anggota dan pegawai polis itu akan direman esok untuk membantu siasatan mengikut mengikut seksyen 17 (a) Akta SPRM yang mana memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *