Pembangunan bola sepak Malaysia, di mana silapnya?

PASUKAN Bolasepak Malaysia pernah berada di puncak kegemilangan apabila memenangi pingat gangsa dalam Sukan Asia Jakarta 1962 dan Tehran 1974 selain turut layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Sukan Olimpik Moscow 1980 (kemudiannya diboikot)

Terkini, pasukan negara berada di tangga 162 kedudukan dunia FIFA. Angka ini hampir dua kali ganda berbanding kedudukan di tangga 80 pada tahun 1993, sebelum kejatuhan teruk pasukan negara akibat bencana rasuah mengatur perlawanan yang melanda. Lebih menyedihkan pasukan yang berada di tangga 161 ialah dari negara Aruba, pulau kecil yang tidak dikenali serta hanya didiami lebih kurang 100,000 manusia

Selain isu rasuah, kepincangan kepimpinan dan strategi juga dilihat antara faktor besar yang menyebabkan prestasi pasukan negara merudum. Apabila timbul masalah, budaya menuding jari sering menjadi pilihan. Pernah satu ketika dulu, Menteri Belia dan Sukan, YB Khairi Jamaluddin sendiri mengecam keras FAM di media, padahal FAM merupakan badan di bawah portfolio beliau.

Pernah juga Presiden FAM mengeluarkan kenyataan bahawa jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh bukan pilihan beliau untuk menjadi jurulatih. Pokoknya, tiada siapa yang cukup berani mengambil tanggungjawab, sebaliknya bersikap lepas tangan untuk menjaga reputasi dan imej masing-masing. Ini cumalah beberapa contoh daripada banyak lagi peristiwa yang telah berlaku

Sebenarnya, banyak lagi masalah dasar lain yang menyumbang kepada kemelesetan ini seperti isu dana, infrastuktur (hardware) dan perisian (software), pemilihan jurulatih dan pasukan kejurulatihan, stamina dan disiplin pemain serta banyak lagi. Namun cukuplah saya fokuskan dahulu dua isu yang besar ini dan cuba mencadangan penambahbaikan berkaitan isu rasuah serta kepimpinan dan strategi.

Pertama berkenaan rasuah. Kita perlu belajar dan mengambil pengajaran terhadap bencana yang menimpa industri bolasepak negara pada tahun 1994-1995 sehingga menyebabkan ramai pemain yang menerima hukuman buang daerah dan digantung pertandingan antara satu hingga lima tahun.

Antara solusi yang ampuh ialah pengistiharan harta oleh pemain dan pengurus, pemantauan khusus yang berterusan pihak penguat kuasa (SPRM) dan juga program pendidikan khas bagi menangani masalah rasuah. Gaji yang tinggi bukanlah penyelesaianya, bahkan ia boleh memberikan kesan negatif yang lain seperti hilang sikap patriotik dan budaya perlumbaaan menunjuk-nunjuk kekayaan di kalangan pemain

Kedua, berkenaan kepimpinan. Pembangunan bola sepak negara tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada FAM, sebaliknya memerlukan kerjasama dan usaha sinergi dari pelbagai pihak termasuklah pihak kementerian, institusi sukan, badan korporat, NGO dan seluruh rakyat Malaysia yang merupakan penyokong pasukan negara

Sebagai contoh, Program Tunas Cemerlang yang dilaksanakan pada tahun 1989-2006 untuk mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan bolasepak kelihatan tidak bermaya dan malap, sehinggalah penjenamaan dan transformasi dilakukan hasil kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), FAM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Program Sukan Teras.

Hasilnya, banyak kejayaan di peringkat Asian malah peringkat antarabangsa yang telah dicapai seperti Johan Kejohanan Piala Cappy (2007), Juara Kejohanan Champhion of Champhions (2011) dan Ketiga Kejohanan Remaja Antarabangsa (2008, 2013)

Namun, yang masih merisaukan ialah penerusan terhadap program pembangunan bakat-bakat muda ini. Ia memerlukan kesinambungan dan fokus supaya pasukan senior kebangsaan mampu mengecap kejayaan yang serupa di peringkat serantau mahupun antarabangsa

Selain itu, elemen kepimpinan yang perlu diberikan perhatian ialah pengaruh sultan, kerabat diraja dan ahli politik dalam posisi utama pengurusan FAM. Kerabat diraja secara umum masih dianggap ‘kebal’ dan akan menyebabkan unsur diktator mendominasi cara kepimpinan badan utama bolasepak negara.

Manakala ahli politik pula majoritinya berkepentingan dan sering bersikap populis (ambil keputusan yang disukai ramai untuk kekalkan pengaruh, walaupun dari segi teknikalnya kurang strategik). Perbandingan rambang boleh dibuat dengan BAM, walaupun tidak sempurna tapi kurangnya pengaruh istana dan politik dalam badan ini dilihat sebagai antara faktor yang menyebabkan prestasi sukan badminton kita masih membanggakan secara umumnya

Minat dan kecenderungan rakyat jelata di Malaysia masih tinggi terhadap sukan bola sepak. Tindakan yang berstrategi dan efektif perlu dilakukan hasil kerjasama pelbagai pihak yang utama bagi menaikkan kembali maruah dan reputasi pasukan negara. Integriti, kolaborasi dan pengurusan berstrategi adalah ramuan kejayaan penting yang perlu diberikan fokus. Supaya rakyat tidak terus kecewa, supaya nama Malaysia akan terus di persada!

Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Ketua Pemuda ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana dan ia juga tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

2 thoughts on “Pembangunan bola sepak Malaysia, di mana silapnya?

  1. Kita mohon pihak berkuasa menimbangkan faktor kualiti, professionalisme dan integriti berikut:

    (1) Pengurusan pasukan bolasepak.

    (2) Jadual pertandingan bolasepak. Jadual pertanding yang terlalu padat boleh menurunkan moral dan kualiti pemain bola sepak yang terpaksa dalam keadaan yang tersangat letih (fatigue).

    (3) Referee dan dua lines man bolasepak.

    (4) Jurulatih bolasepak.

    (5) Pemain bolasepak: kelulusan akademik, latihan, kebajikan (termasuk gaji), kerja berpasukan, professionalisme dll.

    Pihak berkuasa perlu membuat penilaian secara objektif, adil dan telus ke atas semua perkara di atas dan membuat perubahan dan kemas kini yang sewajarnya untuk menjamin kualiti bolasepak Malaysia sentiasa meningkat.

  2. Kerajaan membazirkan berjuta juta ringgit setiap tahun untuk bolasepak, membangunkan pemain remaja dll.

    Masaalahnya, pemain pemain juara kampung ni semua bila menang sesuatu kejohanan bertaraf kampung dah terus masuk majalah majalah hiburan tajaan Utusan berdampingan dengan golongan golongan artis biaDAPjjal.

    Mereka tiada disiplin dan jati diri, senantiasa mengimpikan glamour tak tentu pasal walaupun hakikatnya semua mengetahui Malaysia berada di kalangan tangga corot di kedudukan dunia.

    Selagi pemain dan Melayu sebok dengan benda benda merepek di dalam kehidupan mereka, duit jutaan ringgit itu hanyalah PEMBAZIRAN YANG NYATA.

    Contohilah skuad skuash, badminton dan renang negara yang senantiasa fokus kepada perjuangan mereka tanpa adanya majalah majalah hiburan dan artis artis biaDAPjjal menghantui mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *