Pemaju wajib sedia laporan SIA

PUTRAJAYA, 21 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar memaklumkan, bermula tahun ini, semua pemaju diwajibkan untuk menyediakan laporan Penilian Impak Sosial (SIA) selain Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum sesuatu projek dapat diluluskan.

Katanya, laporan SIA penting bagi memastikan aspek sosial diambil kira dalam perancangan dan pembangunan negara.

“Sebelum ini SIA adalah sebahagian dalam laporan penilaian EIA di bawah Jabatan Alam Sekitar, namun kini ia diletakkan di bawah agensi kementerian ini berikutan isu sosial yang timbul akibat pembangunan.

“Dalam usaha mewujudkan masyarakat bersahsiah tinggi, kita tidak mahu projek yang dijalankan tidak mengambil kira masalah dan isu sosial dihadapi rakyat sehingga mereka tidak diberi pembelaan sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Pada majlis itu, Noh turut melancarkan penjenamaan semula Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) kepada PLANMalaysia.

Katanya, penjenamaan semula yang turut membabitkan slogan baharu ‘Perancangan Melangkaui Kelaziman’ itu mendapat kelulusan Mesyuarat Kabinet pada 25 Januari lalu.

“Penjenamaan baharu ini dibuat kerana 70 peratus kawasan penduduk di negara ini dikategorikan sebagai kawasan bandar. Oleh itu, perancangan perlu dibuat secara menyeluruh dan bukannya berasingan antara bandar dan desa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *