Lebih 1,000 warga Shah Alam meriahkan karnival anjuran Isma


Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

SHAH ALAM, 6 Jamadilakhir 1438H, Ahad – Pelbagai aktiviti yang dijalankan di Karnival Rehat dan Santai (REST) anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Shah Alam berjaya menarik minat lebih 1,000 warga bandar itu.

Bertempat di Taman Tasik Seksyen 2, karnival bertemakan keselamatan komuniti, orang ramai berpeluang menonton demonstrasi oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Silat Hang Tuah.

“Karnival hari ini bertujuan menyemarakkan kesedaran keselamatan di kalangan masyarakat sebagai langkah mengelakkan diri daripada pelbagai ancaman terhadap diri dan keluarga.

“Banyak kes seperti rompakan, ragut dan rogol yang sebenarnya boleh diatasi sendiri jika kita betul-betul bersedia dengan mengambil langkah pencegahan dan bertindak dengan cara yang betul,” kata pengarah karnival, Muhammad Nur Farhan Muhamad Fadzil kepada Ismaweb pagi tadi.

Pengarah karnival, Muhammad Nur Farhan Muhamad Fadzil

Katanya, di samping isu keselamatan, pengunjung turut didedahkan kepentingan menjaga kesihatan.

“Kami turut menyediakan pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata dan gigi dan semuanya adalah percuma kepada masyarakat,” katanya.

Karnival siri kedua ini juga menyasarkan kanak-kanak dan wanita dengan aktiviti khas yang disediakan oleh Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) dan Biro Wanita Isma.

Setiausaha Biro Wanita Isma Shah Alam, Safura Izyani Kamarudin berkata, pihaknya mengambil pendekatan memberikan kempen keselamatan bagi memberi kesedaran kepada kaum wanita agar terpelihara daripada sebarang ancaman selain memperkenalkan aktiviti-aktiviti biro seperti Usrah Wanita, Kelas Memasak dan lain-lain kepada masyarakat.

Turut diadakan acara Free Market di mana pengunjung berpeluang dengan menyumbang dalam berbentuk barangan dan juga boleh mengambil apa sahaja barang sumbangan dengan percuma.

Setiausaha Biro Wanita Isma Shah Alam, Safura Izyani Kamarudin

Persatuan Silat Hang Tuah membuat persembahan.

Pengunjung mengisi borang pendaftaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *