Jet Israel sasar serangan di Semenanjung Gaza

TEBING BARAT, 17 Jamadilakhir 1438H, Khamis – Pesawat pejuang rejim Israel sekali lagi menjalankan beberapa serangan udara di pelbagai lokasi di seluruh Semenanjung Gaza.

Menurut al-Aqsa TV, jet Israel menyasarkan kawasan di sebelah barat Dayr al-Balah di tengah Semenanjung Gaza dan tanah pertanian di timur bandar Gaza, pada awal pagi ini.

Dilaporkan, jet jenis F16 rejim itu turut melancarkan serangan di kawasan Shejaiya sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di seluruh rantau itu.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku disebabkan oleh serangan rejim berkenaan.

Kebelakangan ini, Israel dilaporkan kerap melakukan serangan bom di Semenanjung Gaza, dengan menyasarakan orang awam sebagai sasaran utama.

Malah, rejim berkenaan sebelum ini telah melancarkan beberapa peperangan dengan Palestin bermula Julai 2014 sehingga membunuh hampir 2,200 rakyat negara itu dan menyebabkan lebih 11,000 yang lain cedera.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *