Jangan iktiraf UEC, usah layan kedegilan Dong Jiao Zong: Pembina

BANGI, 25 Jamadilakhir 1438H, Jumaat – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) semua pihak, termasuk kerajaan, mesti menolak cubaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diperjuangkan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong).

Serentak itu, Pembina menyeru semua badan mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya belia untuk tampil bersama dalam mendesak supaya UEC ini tidak diiktiraf.

Mengulas beberapa kenyataan yang dikeluarkan berkenaan UEC sejak akhir-akhir ini, Pembina dalam satu kenyataan hari ini berkata, UEC tidak memenuhi hasrat Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) yang bertujuan melahirkan perpaduan kaum yang harmoni.

“Pembina menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang memberi desakan bagi mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) di universiti awam dan perkhidmatan awam.

“Pengiktirafan UEC membolehkan lepasan UEC untuk tidak mengikuti sistem sukatan pembelajaran berasaskan DPK, tetapi sebaliknya melaksanakan sebuah sistem pendidikan yang dipantau sendiri oleh Dong Jiao Zong.

“Dong Jiao Zong berhujah dengan menyatakan sijil UEC diterima di pelbagai institusi akademik di seluruh dunia. Persoalannya, berapa negara selain China dan Taiwan yang menerima lepasan UEC sebagai kemasukan pelajar tempatan dan menerima sijil tersebut dalam perkhidmatan awam?,” kata pertubuhan itu.

Kenyataan Ketua Penerangan UMNO yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang digantung, Tan Sri Annuar Musa di Parlimen yang menyifatkan keengganan mengiktiraf UEC sebagai bersifat prejudis, juga adalah tidak benar.

“Penentangan terhadap Dong Jiao Zong mempunyai asas yang kukuh. Mereka mempunyai rekod yang panjang berdegil untuk tidak memenuhi syarat DPK.

“Juga di dalam kertas cadangan mereka terhadap Rancangan Malaysia kesepuluh, pertubuhan Dong Jiao Zong dengan terbuka mempersoal kedudukan hak Bumiputera di tanah air ini,” kata Pembina.

Pembina juga merujuk kepada kenyataan media oleh Concerned Lawyer for Justice yang memetik laporan Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) yang bertajuk Human Rights in Malaysia (2016), kajian daripada Professor Dr Sharon Carstens, Professor of Anthropology and International Studies di Portland State University (PSU) Amerika Syarikat, bahawa masyarakt Cina di Malaysia mempunyai perasaan negatif terhadap penggunaan Bahasa Melayu.

Profesor Dr Teo Kok Seong juga, kata kenyataan itu, mendedahkan melalui kajiannya daripada 14,000 peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 2010, 604 pelatih tidak boleh berbahasa Melayu.

Pembina berkata, kesan daripada pengiktirafan UEC bakal mengundang pergeseran yang lebih besar pada masa akan datang, yang akan memberi impak yang negatif kepada generasi muda masa kini dan berlanjutan kepada generasi seterusnya.

“Ianya akan menambahkan jurang perpecahan dan perbezaan antara kaum. Bahkan pada kesan masa panjang, turut sama menggugat perpaduan negara ini. Pihak yang bercakap soal perpaduan tetapi menyokong pengiktirafan UEC adalah sama ada terkeliru atau berkepentingan politik.

“Muhasabah dari sejarah pertembungan kaum di Malaysia, Dasar Pendidikan Kebangsaan digubal bagi mengukuhkan perpaduan negara melalui satu sukatan pelajaran bahasa iaitu bahasa Melayu dan perkongsian pendidikan sejarah yang sama melalui subjek sejarah. Kedua-dua perkara ini tidak terjamin di bawah UEC. Justeru, kesetiaan negara juga tidak terjamin melalui UEC,” kata Pembina.

One thought on “Jangan iktiraf UEC, usah layan kedegilan Dong Jiao Zong: Pembina

  1. Mu-ham-mad Bin Ra-zak

    Assalammualaikum. Semua jenis sijil kita boleh tolak. Tapi sijil di akhirat nanti memang tak leh tolak dah. Takbir!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *