Indonesia tarik balik keputusan henti bekal pembantu rumah

JAKARTA, 21 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Kerajaan Indonesia menarik balik keputusan menghentikan penghantaran rakyatnya menjadi pembantu rumah ke luar negara selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa negara berhubung hak perlindungan golongan itu.

Republik itu, sebelum ini berkata, mereka akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke luar negara bermula tahun ini dengan alasan untuk melindungi rakyatnya.

Bagaimanapun, wujud kebimbangan berhubung keputusan itu kerana desakan kemiskinan yang tinggi dalam kalangan rakyat Indonesia akan menyebabkan mereka mengambil tindakan drastik untuk berhijrah ke negara lain secara haram.

Beribu-ribu wanita Indonesia dilaporkan bekerja di Malaysia, Hong Kong, Singapura dan Taiwan setiap tahun kerana tertarik dengan gaji yang tinggi.

Terdahulu, Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) menyifatkan, larangan kemasukan pembantu rumah dari Indonesia ke dalam negara tidaklah memberikan kesan yang besar kerana para majikan masih dibenarkan mengambil pembantu rumah daripada beberapa negara lain seperti Filipina, Vietnam dan Kemboja.

Malahan, persatuan itu menganggap kadar bayaran untuk mengambil seseorang pembantu rumah dari Indonesia juga agak mahal, iaitu antara RM14,000 hingga RM15,000, manakala gaji bulanan yang perlu diberi kepada mereka ialah sekitar RM1,000.

Jumlah ini dianggap membebankan terutama sekali bagi keluarga yang berpendapatan sederhana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *