53 taska, 18 pusat jagaan kanak-kanak dibatal pendaftaran tahun lepas

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Sebanyak 53 taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan 18 pusat jagaan kanak-kanak telah dibatalkan pendaftaran sepanjang tahun lalu, demikian menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini berkata untuk tempoh yang sama, sebanyak 10 buah Taska dan sembilan buah pusat jagaan telah didakwa.

“Dari Januari sehingga Disember 2016, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengeluarkan Arahan Bertulis kepada 42 buah Taska dan 16 buah pusat jagaan, sembilan buah Taska dan tiga buah pusat jagaan diambil tindakan lak.

“Sebanyak 14 buah taska dan empat buah pusat jagaan dikenakan tindakan kompaun dan tiga buah taska dikenakan tindakan tutup sementara,” kata kementerian itu bagi menjawab pertanyaan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) yang ingin tahu tindakan yang diambil dalam menangani jenayah penderaan kanak-kanak di Taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

Menurut jawapan bertulis itu, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia telah diberi tanggungjawab menguatkuasakan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, Akta Pusat Jagaan 1993, Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.

Bagi memastikan tahap penyampaian perkhidmatan pusat jagaan kanak-kanak berada di tahap keselamatan yang tinggi, kementerian melalui JKM juga menjalankan pemantauan ke pusat jagaan berkaitan.

Antaranya ialah menjalankan aktiviti pengesanan ke pusat jagaan dan Taska tidak berdaftar sepanjang masa, menjalankan pemeriksaan berkala dan mengejut ke premis pusat jagaan dan Taska dan mengambil tindakan penguatkuasaan seperti di dalam peruntukan Akta Pusat Jagaan 1993 dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *