a
Terkini
14/12/2017, 2:53 am

Pelihara konsep beragama secara aman dan damai

SETELAH Donald Trump mengangkat sumpah selaku Presiden Amerika Syarikat ke-45, negara kuasa besar ini menjadi tumpuan seluruh masyarakat seantero dunia. Sebagai ketua kepada sesebuah negara yang memainkan peranan penting membentuk lanskap politik, ekonomi dan sosial di setiap benua, Donald Trump dan ideologinya menjadi topik perdebatan hangat di media masa tempatan mahupun luar negara.

Yang penting, dari perspektif umat Islam yang memandang tinggi agama sebagai satu sistem kehidupan yang menaungi manusia dan alam, Donald Trump bukanlah seorang hero mahupun sekutu kepada Islam dan umatnya.

Walaupun beliau tidak mengiktiraf kedudukan lesbian, gay, biseksual dan transeksual di tempat awam, beliau turut didakwa mendiskriminasi hak-hak orang Islam melalui “Trump ban”nya melibatkan enam buah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. Beliau juga mempunyai hubungan rapat dengan rejim Israel yang menindas rakyat di bumi anbiya’, Palestin.

Namun begitu, umat Islam di Itali bakal menelusuri masa depan yang lebih cerah dalam perihal kebebasan beragama mereka yang akan mula mengiktiraf perkahwinan dalam Islam disisi undang-undang dan saluran dana bagi institusi yang mengurus tadbir hal ehwal Islam.

Sebagai kumpulan penganut agama kedua terbesar di negara itu, umat Islam mampu mencapai persepakatan dan toleransi lantas membolehkan Islam bertapak di negara yang majoriti rakyatnya terdiri dari penganut Kristian.

Kebebasan beragama di Malaysia

Di Malaysia, rakyat jelata menikmati hak dan kebebasan beragama yang unik berbanding dengan negara-negara lain. Dengan mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan turut menjamin kebebasan beragama bagi penganut-penganut yang lain selagi ia diamalkan dengan aman dan damai.

Di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v. Menteri Dalam Negeri and Kerajaan Malaysia (The Herald), konsep ‘aman dan damai’ yang diperuntukkan dalam Perlembagaan membawa maksud Islam, ajaran serta kedudukannya termasuk umat Islam adalah terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang agama dan bangsa dibawah naungan Islam.

Aspirasi ini sejajar dengan matlamat Islam itu sendiri sebagai rahmat untuk sekalian alam. Ia mengutamakan cara hidup serta nilai-nilai Islam yang menyeluruh dalam suasana masyarakat yang penuh kepelbagaian dan perbezaan. Namun, mereka dapat disatukan kerana keindahan dan kesempurnaan ajaran Islam dalam mencapai maslahah dan memberi penyelesaian kepada masalah dalam segenap aspek.

Seperti sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya.” [Hadits hasan riwayat ar-Rawiyani, ad- Daruquthni, al-Baihaqi, adh-Dhiya’]

Konsep ‘aman dan damai’ diancam

Namun, konsep kebebasan beragama yang unik bagi negara kita ini saban hari diolah ke arah satu konsep yang berasaskan fahaman sekularisme dan liberalisme. Kedudukan serta pengaruh Islam semakin dipersoalkan, institusi Islam kian lantang dipertikaikan, ulama’ dan asatizah hebat diperkecilkan dan ajaran Islam sentiasa dilempar kritikan.

Oleh kerana fahaman acuan barat tersebut berjaya menapak di tanah air kita, pendukung-pendukung sekular dan liberal rancak bersuara dan diagungkan penyokong-penyokongnya dalam keteguhan nilai kemasyarakatan yang berpaksikan fahaman konservatif, keagamaan dan norma tempatan.

Ancaman yang terhangat ketika ini adalah penentangan pelbagai lapisan golongan Islamofobia terhadap cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) atau lebih dikenali dengan RUU355.

Undang-undang ini adalah salah satu manifestasi kompromi serta jaminan kebebasan beragama kepada umat Islam selaku penganut agama bagi negara kita. Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bidang kuasa mengurus tadbir hal ehwal Islam ke atas umat Islam dan pihak berautoriti.

Umat Islam juga diberikan kuasa bagi mengadakan jenayah syariah melalui enakmen jenayah syariah negeri-negeri berkenaan beberapa kesalahan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Seharusnya, orang bukan Islam tidak berasa gusar dengan cadangan pindaan ini bahkan kewujudan Akta 355 ini setelah puluhan tahun lamanya membuktikan bahawa ia tidak dikuatkuasakan ke atas mereka (orang bukan Islam).

Namun demikian, sikap parti serta ahli politik serta pendukung liberal dan sekular seperti DAP dan kumpulan Bebas yang tidak senang melihat kemajuan Islam di tanah air begitu dengki dengan usaha murni ini sehingga menyebarkan persepsi yang menyeleweng dan mengelirukan.

Terbaru, seorang bekas Adun Batu Uban dari Parti Keadilan Rakyat, Raveentharan Subramaniam telah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan iaitu “Firstly Islam was never a religion of peace” di laman profail Facebook beliau.

Dakwaan yang umum serta penuh prejudis tersebut semestinya mengundang amarah dan rasa tidak puas hati dalam kalangan umat Islam di Malaysia, sebuah negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Maka tidak hairanlah usaha untuk mengecapi perpaduan di antara kaum menjadi semakin runcing akibat desakan serta tuduhan melulu beberapa figura umum, pimpinan politik serta aktivis yang hanya menambah garam pada luka yang berdarah.

Menjejaki titik perpaduan

Rakyat seharusnya lebih bijak menganalisa isu-isu semasa yang berlaku agar sebarang kekeliruan dapat dijawab dengan berhemah dan tanpa prasangka. Saban hari kita melihat polarisasi perkauman dan ketegangan antara agama berlaku akibat lunturnya budaya hubungan dua hala serta interaksi secara langsung tanpa bergantung sepenuhnya kepada medium perantara seperti media sosial, portal berita dan terbitan-terbitan di blog peribadi.

Usaha Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam menganjurkan seminar, ceramah serta forum bagi menerangkan kepada orang bukan Islam berkenaan RUU355 adalah butir-butir perpaduan yang wajar diteruskan.

Ia sedikit sebanyak turut memberi peluang kepada masyarakat daripada latar belakang yang berbeza untuk mengenali dan memahami agama dan kepercayaan antara satu sama lain. Hasilnya, terdapat sekelompok orang bukan Islam berpendirian menyokong RUU355 bersama-sama umat Islam.

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Hanya dengan interaksi, sikap toleransi serta keterbukaan dapat menyatupadukan kita dan tidak mustahil konsep dan semangat ‘aman dan damai’ yang ditinggalkan oleh bapa kemerdekaan negara akan kembali mekar dan subur disetiap jiwa rakyat Malaysia dibawah naungan Islam.

Danial Ariff bin Shaari
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana dan ia juga tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

Comments
  • Sejarah telah membuktikan umat Islam sentiasa bertoleransi dengan orang-orang kafir dan menghormati hak asasi orang kafir seperti mengamalkan ajaran agama kafir selagi orang-orang kafir tidak memusuhi agama Islam dan umat Islam.

    Umat Islam di Malaysia juga sentiasa bertoleransi dengan orang-orang kafir dan menghormati hak asasi orang kafir. Sebagai contoh, sebelum merdeka , orang-orang asing tidak mempunyai kerakyatan di negara ini yang bererti mereka terpaksa pulang ke India, China dll jika negara ini mencapai kemerdekaan.

    Orang Melayu @ umat Islam telah bermurah hati memberikan kerakyatan kepada kaum-kaum bukan Melayu supaya mereka boleh menetap di negara ini. Malangnya kebaikan orang Melayu telah dibalas dengan kejahatan. Air susu dibalas dengan air tuba !

    Kebaikan dan sikap toleransi agama Islam dan umat Islam di negara ini dll telah dan sedang dibalas dengan pelbagai penghinaan, permusuhan, fitnah, kebencian, perkauman dll oleh pemimpin-pemimpin kafir dan pengikut rasis mereka.

    Pemimpin-pemimpin kafir mendesak umat Islam mengiktiraf hak orang kafir dan menghormati agama-agama kafir tetapi pada masa yang sama pemimpin-pemimpin kafir dan pengikut rasis mereka menghina, memfitnah, memburuk-burukkan dan memusuhi agama Islam dan menindas dan menafikan hak umat Islam.

    Ini bererti konsep beragama secara aman dan damai tidak boleh dicapai selagi pemimpin-pemimpin kafir dan pengikut rasis mereka bersikap perkauman dan mementingkan diri sendiri dan menentang Perlembagaan Persekutuan (Malaysia) perkara 3(1) yang jelas menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan (Malaysia), memusuhi agama Islam dan menafikan hak umat Islam mengamalkan ajaran agama Islam.

    15/03/2017

Leave A Comment