Yayasan Ikhlas, NGO beri sumbangan RM168,000 kepada pelajar miskin

BANGI, 18 Jamadilawal 1438H, Rabu – Seramai 844 pelajar miskin dari kalangan keluarga berpendapatan rendah menerima bantuan persekolahan berjumlah RM168,000 daripada pertubuhan Yayasan Ikhlas dengan kerjasama beberapa badan korporat dan NGO lain.

Bermula 17 Disember lalu, bantuan itu disalurkan ke tujuh buah negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Johor, Pantai Dalam, Sabah dan Sarawak, yang berakhir pada 22 Januari baru-baru ini.

Pegawai Tugas-Tugas Khas, Syafiq Syahmi Sazali berkata, seramai 165 pelajar miskin di Kedah, 135 pelajar di Pantai Dalam, 150 di Kelantan, 125 di Perak, 185 di Sarawak, 50 di Sabah dan 34 pelajar miskin di Johor menerima bantuan tersebut.

“Tumpuan diberikan kepada keluarga yang berpendapatan rendah di bawah RM 1500.00 mengikut panduan yang dikeluarkan oleh Bahagian Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, ICU JPM.

“Setiap pelajar menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan persekolahan seperti beg sekolah, alat tulis, buku serta al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara badan korporat dan NGO yang turut sama menjayakan bantuan persekolahan ini ialah Etiqa Takaful Berhad, Affin Islamic Bank, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) dan Yayasan Nur Karangkraf.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *