Vendor tempatan terjejas jika China kuasai 51 peratus ekuiti Proton: Dr M

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Jamadilawal 1438H, Khamis – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang pengambilalihan ekuiti Proton Holdings Bhd oleh syarikat China akan menjejaskan nasib syarikat-syarikat vendor yang mendapat kontrak daripada pembuat kereta nasional itu.

Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Proton berkata, beliau bimbang penjualan saham sebanyak 51 peratus itu akan menyebabkan syarikat vendors tempatan akan kehilangan kerja.

Ini kerana katanya, sudah pasti jika Proton dimiliki oleh orang asing, maka mereka akan menggunakan sumber di negaranya untuk komponen daripada luar negara.

“Saya harap kita tak akan jual, kalau nak jual 10 peratus tidak mengapa, tetapi nak jual 51 peratus. Lepas jual maka segala vendor-vendor kita akan hilang kerja kerana sudah tentu kalau dimiliki oleh orang asing, maka mereka akan menggunakan ‘sources’ mereka untuk komponen daripada luar negara.

“Bila itu berlaku, vendors kita akan tutup kedailah. Jadi, ini bukan satu cara untuk membangunkan negara terutama dalam bidang automotif,” katanya seperti dipetik menerusi video pendek di Facebook Mukhriz Mahathir FC, hari ini.

Rabu lalu, DRB-Hicom Bhd menegaskan bahawa ia akan memuktamadkan dan mengumumkan keputusan mengenai rakan strategik asing (FSP) bagi Proton, syarikat pembuat kereta milik penuhnya itu, dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Menurut DRB-Hicom, FSP merupakan proses yang kompleks dan mengambil masa yang panjang, DRB-Hicom dalam kenyataan itu berkata ia bagaimanapun akan berusaha memuktamadkan proses berkenaan secepat mungkin.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini memberi jaminan bahawa pekerja Proton akan diberikan layanan adil oleh mana-mana entiti yang membeli sahamnya.

“Saya cukup yakin bahawa sesiapa jua yang memiliki Proton (kelak) akan melihat dari keseluruhan aspek, tidak hanya pada perniagaan, malah hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan pekerja,” katanya mengulas spekulasi sebahagian besar pekerja akan diberhentikan apabila Proton memuktamadkan proses mendapatkan FSP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *