Tiga sudah ditahan kes bunuh abang tiri pemimpin Korea Utara

BANGI, 20 Jamadilawal 1438H, Jumaat – Tiga suspek, termasuk seorang lelaki rakyat Malaysia ditangkap setakat ini, bagi membantu siasatan kes pembunuhan saudara tiri pemimpin Korea Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Isnin lalu.

Muhammad Farid bin Jalaluddin, 26 tahun, dikenalpasti sebagai teman lelaki seorang wanita Indonesia yang ditangkap semalam. Wanita itu adalah antara dua wanita yang melakukan serangan terhadap abang tiri Kim Jong-un, Kim Jong-nam

“Suspek sekarang ini ditahan reman untuk membantu siasatan,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Jong-nam, 45 tahun, diserang dua wanita di KLIA Isnin lalu ketika dia hendak mendaftar masuk penerbangan keMacau, pusat kegiatan beliau sejak hidup dalam buangan 15 tahun lalu. Kedua-duanya dikatakan memegang Jong-nam dan menyembur racun di mukanya.

Beliau mendapatkan bantuan perubatan di KLIA, tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Imej kedua-dua wanita itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) ketika meninggalkan tempat kejadian untuk mendapatkan teksi, mencetuskan gerakan besar-besaran memburu kedua-duanya.

Seorang wanita yang menggunakan pasport Vietnam dikenali sebagai Dong Thi Huong, 29 tahun, ditangkap Rabu lalu ketika cuba menaiki pesawat untuk pulang ke Vietnam. Dia dikatakan memberitahu polis ditinggalkan seorang wanita dan empat lelaki yang terbabit dalam serangan itu.

Wanita kedua dikenali sebagai Siti Aishah, 25 tahun, berasal dari Indonesia ditahan awal kelmarin. Dia juga dikenal pasti menerusi rakaman CCTV di KLIA.

Jurucakap Jabatan Imigresen Indonesia, Agung Sampurno berkata, pegawai dari Kedutaan Indonesia telah bertemu wanita itu dan mengesahkan dia adalah rakyat Indonesia.

Media Indonesia melaporkan, Aishah tinggal di Tambora, Jakarta, selama 10 tahun sebelum ke Malaysia pada 2013 untuk tinggal bersama keluarganya.

One thought on “Tiga sudah ditahan kes bunuh abang tiri pemimpin Korea Utara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *