Satu Refleksi Jujur Buat Nadia Jalil (An Honest Look In The Mirror for Nadia Jalil)


SATU artikel ditulis oleh seorang wanita bernama Nadia Jalil bertajuk “An Honest Look In The Mirror for Malay(sian) Muslims”, yang bermaksud “Satu Refleksi Jujur Bagi Melayu Muslim”. Ia disiarkan di portal media atas talian The Malay Mail Online (TMMO). Sebuah portal yang tidak asing lagi yang suka mengusik umat Islam di Malaysia.

Individu seperti Nadia Jalil semakin rajin menonjolkan diri di alam maya. Mereka tidaklah ramai tetapi pandai mengambil ruang untuk meluahkan pandangan. Biasanya mereka ini golongan Melayu Muslim yang “urban”.

Berpendidikan tinggi, suka berbahasa Inggeris, tinggal di kota metropolitan. Mahu berpegang pada Islam, tetapi jenis Islam yang boleh disenangi oleh sesiapa. Iaitu jenis Islam yang mempunyai nilai persamaan dengan mana-mana agama dan fahaman lain.

Bahagian Islam yang jelas berbeza, mereka sukar untuk mewar-warkannya. Kadang kala bukan mereka tidak setuju, tetapi tidak suka perbezaan yang menimbulkan konflik katanya. Payah juga begini, sebab asas Islam itu sendiri tauhid kepada Allah. Sukar kita nak raikan Ilah selain Allah kan.

Jadi tulisan saya, untuk menjawab Nadia Jalil. Bagi saya dia bukan seseorang, tetapi sekelompok manusia yang berfahaman seperti itu.

Kekecewaan dan Kekeliruan Nadia Jalil

Saudari cuba salahkan PAS kerana tidak menjaga hak Orang Asli, isu banjir dan isu hasil mahsul hutan balak.

Saudari cuba salahkan UMNO kerana salah laku rasuah, isu ketirisan dan pembelotan harta kerajaan.

Saudari cuba salahkan orang Melayu sebab beradat budaya menindas wanita dan suka kelucahan melampau.

Saudara cuba salahkan orang Melayu sebab buat orang bukan Melayu benci pada Islam.

Saudari cuba salahkan Jabatan Agama sebab seolahnya cuba mendirikan pentadbiran teokratik.

Saudari cuba salahkan pendakwah kerana mereka tidak pandai berdakwah sampai orang lari daripada Islam.

Saudari cuba salahkan madrasah-madrasah yang secara sengaja atau tidak menghasilkan pentaksub ISIS.

Saudari cuba salahkan ISMA juga, ini saya tak tahu kenapa. Tapi saudari samakan naratif ISMA dengan naratif PAS dan UMNO. Ok, ISMA salah kerana menguatkan naratif PAS dan UMNO.

Jelas anda seorang yang kecewa, kerana terasa banyak perkara tidak kena.

Kecewa sehingga keliru.

Keliru sehingga saudari menyimpulkan kesemua cara tidak kena, dan akhirnya anda akui, yang perlu dicontohi adalah Pertubuhan IKRAM, Mufti Perlis, Tariq Ramadan dan kolumis ABAH.

Kemudian, akhirnya saya faham, dari mana pemikiran saudari datang.

Kalau saya nak kupas, saya perlu huraikan buku “Building Muslim Moderate Network” terbitan RAND Corp. Inilah mungkin naratif dan solusi yang dikehendaki oleh saudara serta pertubuhan dan individu yang saudari sanjungi.

Tetapi apa yang saya dapat sebut, maaf saya tidak boleh hendak setuju.

Nadia Jalil Menuduh Malaysia dan Penduduk Melayunya Mengamalkan Rasisme

Saudari Nadia Jalil menyanjungi tindakan sebahagian rakyat Amerika yang bukan Islam di Amerika Syarikat, yang mana mereka memberikan sokongan dan bantuan kepada masyarakat Islam di Amerika Syarikat akibat tertindas dek pasca kempen yang bersentimen anti-Muslim oleh Presiden Donald Trump.

Kemudiannya, Saudari Nadia menempelak masyarakat Muslim di Malaysia bahawa mereka mahukan keadilan bagi masyarakat Muslim sendiri, tetapi bersifat menindas masyarakat bukan Islam di Malaysia. Mudah sungguh kesimpulan Saudari Nadia sehinggakan menimbulkan fitnah kepada majoriti masyarakat Muslim di Malaysia, seolah-olah kita tiada sikap santun kepada komuniti bukan Islam di Malaysia dan tidak pernah bertolak ansur kepada masyarakat yang pelbagai latar belakang bangsa dan agama di Malaysia.

Saudari Nadia juga telah membuat cubaan menipu apabila mengatakan masyarakat Islam di Malaysia menyalah guna kedudukan istimewa Islam di Malaysia untuk mengawal dan memberi tekanan kepada agama lain.

Di negara manakah yang komposisi Ahli Parlimennya melebihi demografi masyarakat yang sebenar di negara tersebut?

Di negara manakah yang kekayaannya dimiliki oleh bukan bangsa majoriti di negara tersebut?

Di negara manakah yang telah menerima sistem pendidikan bukan aliran kebangsaan, iaitu sistem vernakular, tetapi tetap didanai secara rasmi oleh kerajaan, dengan menggunakan hasil mahsul dan cukai keseluruhan rakyatnya?

Di negara manakah rumah ibadat selain daripada agama Persekutuan diberikan kebebasan untuk dibina dan beroperasi?

Bahkan dibenarkan juga, agama lain untuk masuk mahkamah untuk mendakwa kedudukan agama Persekutuan sepertimana yang berlaku dalam kes puak Kristian dalam menuntut penggunaan kalimah Allah?

Dua minggu lalu, perayaan Tahun Baru Cina disambut oleh masyarakat Cina dengan meriah, dan beberapa hari lalu perayaan Thaipusam disambut oleh masyarakat India tanpa sebarang halangan dan gangguan.

Di manakah bukti Saudari Nadia bahawa masyarakat majoriti di Malaysia bersifat menindas dan rasis?

Nadia Jalil Menyamakan Demografi Jenis Orang Di Alam Maya dan Di Alam Nyata

Saudari Nadia sekali lagi menuduh dan membuat kesimpulan tidak jujur bahawa budaya Melayu menjadi “judgement over mercy”, iaitu penuh prejudis dan tiada rahmah.

Walau Saudari Nadia mengakui bahawa media sosial bukan kayu ukur sebenar sesebuah masyarakat, tetapi itulah yang dibuat oleh Saudari Nadia. Membakulkan kesemua masyarakat Muslim di Malaysia dengan label tidak berhikmah, tiada toleransi, suka berprasangka, suka memalukan orang. Yang buruk dan salah semuanya Saudari Nadia tujukan kepada orang Melayu, dan Muslim belaka.

Sedangkan kita boleh lihat portal media atas talian, Malaysiakini, Free Malaysia Today, The Malay Mail Online (TMMO) dan lain-lain telah mendahului mana-mana portal berita di Malaysia dalam membuat onar dalam menghina Islam dan masyarakat Melayu. Kemudian cubalah baca “Komen” dan kiralah “Like” dan “Share”, berapa yang bersifat Islamophobia dan anti-Melayu.

Di mana Saudari Nadia dalam membantu membaikpulih imej agama dan saudara seaqidah sendiri? Bahkan Saudari Nadia turun juga menjadi penyumbang kepada TMMO, dan bacalah sendiri komen-komen yang diberikan kepada saudara seaqidah anda di bawah artikel saudari.

Bahkan kemudian, dengan berbekalkan sumber media sosial juga, Saudari Nadia memetik beberapa orang Melayu, dan beberapa orang yang dianggap Islamis, dan beberapa berita mengenai hal dakwah tertentu, dan menganggap keseluruhan Melayu, Muslim serta usaha dakwah Islam bersifat menyakitkan hati dan suka memalukan orang.

Ya benar, komuniti kita bukanlah suci daripada masalah, tetapi bukanlah mereka terlalu kotor sehingga sukar sekali disucikan. Sebelum Saudari Nadia menukilkan artikel ini, saya ingin tahu juga berapa banyak usaha Saudari Nadia “turun masyarakat” berjumpa dengan anak-anak muda yang “kahau” untuk memimpin mereka supaya mengamalkan akhlak Islam sebenar?

Bahkan untuk berdebat dan berbincang dengan Saudara Lukman Sherif yang begitu diplomatik dalam berhujah pun saudari Nadia tak sudi, saya jangka apatah lagi untuk bertemu dengan orang yang tidak bersikap intelek dan tidak urban macam saudari.

Takkanlah sifat rahmah dan bertoleransi hanya untuk rakan yang bukan Islam sahaja?

Nadia Jalil Mengangkat Tema Feminisme

Saudara Nadia telah mengeluarkan kenyatan berbaur feminisme dengan membuat kesimpulan terdapat adat budaya Melayu serta penggunaan dalil-dalil agama Islam untuk sentiasa bersifat prejudis terhada wanita (misogynistic) dan mengamalkan sistem yang sentiasa melebihkan lelaki berbanding wanita (patriarch).

Kini, saudari Nadia bukan sekadar menuduh masyarakat Melayu bersifat buruk kepada wanita, bahkan menuduh pengalaman institusi agama Islam di Malaysia untuk menyalahguna agama kerana khutbah-khutbah mengajarkan nilai-nilai yang boleh menyebabkan wanita tertindas.

Saudari Nadia juga seolahnya tidak mengiktiraf pencapaian Malaysia sebagai antara negara yang memberikan hak yang baik kepada wanita. Bahkan Saudari Nadia juga gagal meraikan kejayaan-kejayaan wanita Malaysia di persada tempatan dan antarabangsa.

Dalam mengetengahkan keterbukaan Islam dalam mengangkat martabat wanita, Saudari Nadia secara sengaja, atau mungkin tidak sengaja telah mengangkat tema bahawa Islam hanya menghargai peranan wanita kepada yang bersifat “white-collar”, seolah-olah tiada ruang penghargaan kepada wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah dan tidak bekerja untuk beri tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.

Wanita dan lelaki hidup saling melengkapi, dan bukan saling menyaingi. Wanita Barat telah lama terpaksa bertarung mencari kedudukan yang mulia sepertimana yang diberikan Islam kepada wanita-wanitanya.

Baca sahaja sejarah Revolusi Industri dan Suffrage di Barat.

Bahkan masalah wanita dan penindasan seksual bukanlah wujud hanya dalam masyarakat Arab Jahiliyah bahkan keseluruh tamadun dunia. Setelah kita akui keberkesanan Islam mengangkat martabat wanita, takkanlah kita ingin gunakan perjuangan feminisme Barat yang masih gagal menyelesaikan kemelut para wanitanya.

Saudari Nadia telah mengaitkan masalah sumbang mahram, zina, rogol dan kelucaahan sinonim dengan masyarakat Melayu. Entah tradisi Melayu yang mana satu yang menggalakkan mana-mana jenayah seksual di atas. Yang saya pasti, majalah Cosmopolitan dan beberapa majalah urban dan berbahasa Inggeris yang dijual di tempat terbuka, tidak segan silu menawarkan tips-tips berkaitan hubungan seksual. Mungkin majalah ini orang Melayu yang punya? Yang filem-filem Melayu sampah yang mengajarkan seksual secara salah, saya setuju memang perlu diharamkan terus. Tapi nanti ada pula cerita kata Islam tidak boleh anggap dosa peribadi sebagai jenayah pula.

Saudari Nadia gagal menggarap realiti sebenar masyarakat di Malaysia, bahawa keruntuhan sosial di kalangan lelaki dan perempuan di Malaysia bukanlah disebabkan oleh budaya Melayu atau penunggangan agama semata-mata.

Bahkan faktor ekonomi, faktor pendidikan, faktor kekeluargaan serta faktor sosial perlu diambil kira. Sebagai contoh, Dr Abdul Hadi Zakaria dalam kajian “Haruan Makan Anak: Inses di Semenanjung Malaysia” menunjukkan bahawa sumbang mahram lebih banyak berlaku di kalangan mereka yang berpendapatan rendah dan majoriti kes berlaku di kawasan luar bandar.

Dari segi etnik, bilangan kes yang paling tinggi adalah di kalangan orang Melayu (89%) diikuti dengan India dan Cina. Namun ini tidak semestinya menunjukkan etnik Melayu paling ramai melakukan kesalahan ini kerana ada kemungkinan etnik lain tidak melaporkannya manakala orang Melayu melaporkan kejadian ini sumbang mahram dilihat sebagai satu perbuatan yang amat bertentangan dengan Islam dan berdosa besar.

Nadia Jalil Tidak Jujur Dalam Menyanjungi Demokrasi

Saudari Nadia menyuarakan keterbukaaan sokongannya kepada pertubuhan IKRAM dan tokoh-tokoh yang sentiasa konon melaungkan perlu berdialog dan mengajar demokrasi matang. Saya anggap Saudari Nadia mempunyai kepercayaan yang sama.

Saya amat tertarik apabila Saudari Nadia menyatakan bahawa seolah-olahnya keseluruhan masyarakat Muslim di Malaysia hidup dengan naratif parti politik PAS atau UMNO atau ISMA.

Sememangnya pada Pilihan Raya Umum ke-13, UMNO dan PAS menjadi pilihan majoriti masyarakat Muslim, yang rata-ratanya merupakan masyarakat Melayu. Jadi saya tidak hairan jika betullah masyarakat Muslim di Malaysia hidup dengan naratif UMNO dan PAS.

Saudari Nadia kiranya rasa tertampar sangat apabila majoriti masyarakat Muslim tidak sealiran dengan cara pemikirannya yang beraliran “Muslim Moderat” mungkin. Sistem demokrasi yang dilaung-laungkan sebagai alat berkesan oleh penyanjung idea liberalisme. Tetapi apabila sistem demokrasi tidak “memberi manfaat” kepada pentaksub aliran liberalisme, habis dicemuh pula.

Saya bukanlah penyokong PAS dan UMNO di sini, tetapi saya juga tidak gemar dengan cara menggunakan hujah demokrasi bagi memberi muka kepada mereka yang terang-terangan menyatakan penentangan terhadap apa sahaja yang berkait dengan penegakan syariat Islam di Malaysia.

Sebagai rekod, ISMA hanya bertanding di 7 kerusi Parlimen dan 1 kerusi DUN, melalui tiket BERJASA dan hanya raih undi hampir 35,000 pada PRU-13 seluruh Malaysia. Saya terharu apabila Saudari Nadia mengiktiraf bahawa masyarakat Melayu di Malaysia mengiktiraf ISMA dan sanggup hidup bersama naratif yang dibawa ISMA, sebuah pertubuhan Islam sederhana.

ISMA telah melaung-laungkan satu slogan dan harapan yang tidak pernah dibawa oleh mana-mana naratif politik di Malaysia. Iaitu umat Islam di Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu perlu bersepakat atas maslahah ummah.

Alhamdulillah kini, slogan “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” diterima oleh kedua-dua blok politik yang selama hari ini sentiasa mencari jalan menenggelamkan satu sama lain. Adakah ini seruan yang ekstrem? Iaitu seruan supaya majoriti umat Islam di Malaysia untuk memperjuangkan maslahah umat.

Nadia Jalil Perlu Fahami Amar Maaruf Nahi Mungkar dan Dakwah Sebenar

Saya kirakan Saudari Nadia merupakan insan yang biasa berdakwah. Tidak ramai yang menggunakan perkataan “amar makruf nahi mungkar” ataupun “dakwah bil hikmah”. Tahniah saya ucapkan kerana cuba menyumbangkan kepada dakwah Islam. Namun begitu, sebagai Muslim, kita perlu memahami konsep dakwah yang sebenar, termasuklah konsep amar makruf nahi mungkar yang sebenar.

Saudari Nadia yang telah sesat di dalam alam maya dan hanya berjumpa dengan orang Melayu dan orang Islam di alam maya yang memang betul teruk perangainya. Lalu menyangka keseluruhan demografi umat Islam dan masyarakat Melayu di Malaysia seperti yang dijumpa di alam maya.

Segala contoh yang diberi Saudari Nadia seolahnya meremeh-temehkan usaha-usaha dakwah Muslim yang lain.

Walaupun benar ada cara penyampaian dan cara dakwah boleh dibaiki, tetapi cara Saudari Nadia menggambarkan usaha-usaha dakwah Islam seolahnya buruk langsung. Seolah-olahnya, setiap kali dakwah dilakukan, berlaku cerca-mencerca dan paksa-memaksa. Dan seolahnya setiap kali amar maaruf dan nahi mungkar dilakukan, berlaku pencerobohan maruah dan bahkan keganasan.

Jabatan Agama Islam di pelbagai negeri bukan tangkap orang sahaja kerjanya. Kami di pertubuhan bukan kerajaan tidak sukar pun meminta kerjasama mereka sekiranya ada inisiatif dakwah untuk mendidik masyarakat. Bahkan janganlah kita mengharapkan badan rasmi kerajaan sahaja yang buat dakwah betul-betul. Kita pun buatlah sama.

Saya biasa menyertai kempen menutup aurat di IPT, serta saya biasa juga menyertai kempen World Hijab Day semasa menuntut di luar negara di sebuah negara majoriti bukan Islam, tidak pula saya melihat orang-orang yang datang rasa diperkecilkan dan diremehkan. Kalau benar pun mereka “terasa”, memang semestinya dakwah perlu berlaku untuk menyampaikan mesej. Sekiranya orang yang didakwahkan bersifat “kebas” dan tidak rasa apa-apa, mana mungkin dia akan menerima mesej yang disampaikan. Dakwah bersifat sentap, kalau perlu.

Menurut Ibnu Taimiyyah, “setiap perkara yang disukai oleh Allah dan rasul-Nya sama ada wajib atau sunat, zahir atau batin adalah merupakan antara isi dakwah kepada Allah yang perlu kita ajak kepadanya. Begitu juga setiap perkara yang dibenci oleh Allah dan rasul-Nya sama ada batin atau zahir adalah merupakan isi dakwah kepada Allah dan perkara yang perlu kita larang daripadanya. Dakwah tidak akan sempurna kecuali dengan mengajak manusia agar melaksanakan perkara yang dicintai Allah dan meninggalkan perkara yang dimurkai Allah sama ada ianya perkataan atau perbuatan, lahir mahupun batin.”

Sudah tentu bila kita mengajak menyalahi keinginannya yang bertentangan dengan Islam, akan menimbulkan perasaan tidak seronok dan tidak puas hati serta menyampah. Jadi adakah benar dakwah Islam sentiasa boleh dilakukan untuk memuaskan hati semua orang?

Sehinggakan cuba membawa cara dakwah Islam dengan halus mulus sehingga seronok sahaja didengar. Pernahkah Saudari Nadia membaca Al Quran dan membacakan bagaimana respon-respon yang diterima oleh para Nabi dan para Rasul apabila mereka berdakwah? Bukankah mereka yang terbaik dalam akhlak dan kata-kata mereka?

Kita perlu berdakwah kepada masyarakat bukan Islam dengan jelas tanpa berselindung kerana mereka sebenarnya tidak terasing daripada fitrah. Saya suka merujuk kepada seorang tokoh dakwah Islam di Amerika Syarikat, Almarhum Dr Ismail Raji Al Faruqi, bahawa usaha dakwah kepada Islam bukanlah mengajak seseorang ke satu jalan yang terlalu asing buat mereka. Ini kerana Islam adalah cara hidup yang semulajadi bagi semua orang, iaitu deen al-fitrah.

Bahkan setiap manusia mempunyai deria rasa dalaman (sensus numinis) yang semulajadi yang biasa dibangkitkan untuk mengenali Allah serta tunduk dan patuh kepada Allah. Dr Ismail mengatakan, seseorang yang bukan “homo Islamicus” adalah seseorang yang bukan manusia.

Hal ini juga dinyatakan oleh seorang tokoh dakwah dari India, yang biasa berdakwah kepada komuniti bukan Islam, iaitu Almarhum Abul A’ala Al Maududi, apabila beliau menyebut bahawa semua manusia merupakan Muslim sebagaimana ia menurut kepada undang-undang tabi’e dalam kehidupan (al-jabariah).

Tetapi ada satu unsur keIslaman lain yang diperlukan untuk menjadikan seseorang sebagai Muslim yang sempurna adalah mengikuti undang-undang syari’at Allah dalam kehidupan (ikhtiyariyyah).

Objektif dakwah Islam adalah mengembalikan seluruh manusia untuk kepatuhan total kepada Allah SWT. Sesiapa yang berusaha walau sekelumit untuk membawa manusia untuk akhirnya pasrah dengan jalan kehidupan yang disuruh Allah, dia akan dapat pahala.

Saya mengajak Saudari Nadia untuk ikut saya beraktivisme dengan remaja dan belia melalui Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ke kampung, ke sekolah dan ke syarikat-syarikat. Dan kemudian saya mohon komen Saudari Nadia, adakah aktiviti dakwah saya dan dakwah ISMA bersifat destruktif? Untuk makluman, ISMA dianggotai pelbagai lapisan masyarakat yang pelbagai latar belakang.

Nurhidayah Ismail
Aktivis Wanita Isma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *