Rukun Negara sebagai Mukadimah Perlembagaan: Suatu pandangan

PADA 23 Januari 2017, sekumpulan tokoh profesional dan aktivis sosial telah melancarkan satu inisiatif yang dinamakan Rukunegara sebagai Mukadimah Perlembagaan (RMP).

Inisiatif tersebut berhasrat untuk mengiktiraf Rukunegara sebagai mukadimah bagi Perlembagaan Persekutuan dalam usaha menegakkan prinsip-prinsip asas yang bersifat inklusif dan sejagat seperti keadilan, perpaduan dan kecintaan kepada tanah air.

Ia diharapkan dapat mengembalikan nilai-nilai tersebut yang didakwa telah terhakis dan diketepikan oleh pimpinan serta rakyat pada hari ini. Kezaliman, penindasan serta pengkhianatan dikatakan rakus mencengkam rakyat sehingga pelopor RMP ini berasa terpanggil untuk memberikan jalan penyelesaian.

Setelah berminggu berlalu selepas perlancaran inisiatif RMP ini dibuat, pelbagai pihak telah mengemukakan pandangan. Ada yang menyokong, ada yang menolak dan ada juga yang berkecuali.

Beberapa perkara penting berkenaan intipati Rukunegara dan konsep mukadimah Perlembagaan telah pun diutarakan dalam perbincangan sama ada di alam nyata mahupun media sosial dari pelbagai sudut.

Walaubagaimanapun, saya berasa dukacita kerana akhirnya pihak yang membuka ruang perdebatan atas dasar demokrasi ini begitu mudah menolak pertikaian serta kerunsingan yang ditimbulkan supaya masyarakat lebih faham apakah kesan secara langsung atau sampingan terhadap pemakaian Rukunegara sebagai mukadimah Perlembagaan Malaysia.

Intipati Rukunegara

Seperti sedia maklum, Rukunegara terdiri daripada dua perkara; pertama, objektif yang ingin dicapai dan kedua, prinsip yang menjadi tunggak ke arah mencapai objektif. Objektif-objektif Rukunegara adalah seperti berikut:

• mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
• memelihara satu cara hidup demokratik;
• mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
• menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; dan
• membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Bagi mengecapi objektif-objektif tersebut, rakyat Malaysia berikrar untuk mendukung prinsip-prinsip berikut:

• KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN;
• KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA;
• KELUHURAN PERLEMBAGAAN;
• KEDAULATAN UNDANG-UNDANG;
• KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Penguatkuasaan Rukunegara sebagai mukadimah

Para pelopor RMP mendakwa sekiranya Rukunegara dijadikan mukadimah Perlembagaan, ia hanya menjadi rujukan dalam menentukan permasalahan dan tidak boleh dikuatkuasakan. Dalam erti kata lain, ia tidak mempunyai kuasa undang-undang atau ‘force of law’.

Lalu timbul persoalan, sekiranya ia tidak mempunyai kuasa undang-undang dan ia tidak boleh dikuatkuasakan, mengapa Rukunegara mahu dijadikan sebagai mukadimah? Seolah-olah inisiatif ini akhirnya akan menjadi sia-sia kerana usaha kononnya untuk mencapai keadilan dan kesaksamaan, kecintaan kepada negara dan perpaduan akan menemui jalan buntu.

Namun, apakah benar bahawa setelah Rukunegara dijadikan sebagai mukadimah, ia tidak boleh dikuatkuasakan? Ini adalah satu pandangan yang terpesong dari sudut perundangan dan perlembagaan.

Hal ini kerana, apabila Rukunegara menjadi pembuka kepada Perlembagaan, maka ia secara langsung menjadi sebahagian daripada teks dan kandungan Perlembagaan yang mesti diberikan pertimbangan yang setara dengan 183 Perkara, 15 Bahagian (termasuk Bahagian 12A) dan 13 Jadual yang membentuk satu set perundangan tertinggi di Malaysia.

Menurut bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid:
“…apabila muqadimah diadakan selepas 60 tahun, peguam-peguam akan mula berhujah bahawa semestinya ada sebab mengapa Parlimen berbuat demikian. Parlimen tidak berbuat sesuatu dengan sia-sia. Maka, Mahkamah perlulah mencari niat Parlimen dan memberi kesan kepadanya (mukadimah) dalam mentafsir sesuatu peruntukan Perlembagaan.”

Jika kita mengambil kira perkembangan perundangan dan perlembagaan di negara lain, kita dapat lihat bahawa terdapat peningkatan kecenderungan dalam menggunapakai mukadimah Perlembagaan untuk menjawab isu serta persoalan undang-undang yang dihadapkan ke mahkamah.

Hakim-hakim akhirnya terpaksa merujuk kepada mukadimah bagi membuat penafsiran (interpretation) dan pembinaan (construction) setiap peruntukan Perlembagaan yang berkenaan.

Tun Abdul Hamid merujuk kepada satu kajian yang dibuat oleh Liav Orgad daripada The School of Law, The Interdisciplinary Center Herzliya. Liav Orgad mendapati bahawa:

“Di kebanyakan negara, muqadimah semakin digunakan untuk mewujudkan hak keperlembagaan dalam hal-hal yang tidak dinyatakan. Tinjauan secara global fungsi muqadimah menunjukkan trend yang semakin meningkat ke arah ia mempunyai kuasa mengikat yang lebih kuat – sama ada dengan sendirinya, sebagai sumber substantif hak, atau digabungkan dengan peruntukan perlembagaan yang lain, atau sebagai panduan untuk tafsiran perlembagaan. Sehari demi sehari, Mahkamah lebih bergantung kepada muqadimah sebagai sumber undang-undang.”

Ini membuktikan bahawa dakwaan Rukunegara hanya dijadikan rujukan dan tidak boleh dikuatkuasakan adalah salah dalam aspek perundangan. Bahkan, ia adalah kesilapan yang besar kerana maksud dan semangat Perlembagaan sedia ada boleh diubah oleh pihak-pihak berkepentingan yang mahu mempromosi agenda dan kefahaman mereka sendiri.

Rukunegara boleh mewujudkan hak-hak asasi manusia baharu

Memandangkan Rukunegara sebagai mukadimah Perlembagaan mempunyai kuasa undang-undang atau ‘force of law’, maka tidak hairanlah sekiranya akan timbul permohonan hak-hak asasi manusia baharu di mahkamah kelak.

Perkara ini terbukti berdasarkan kajian Liav Orgad tersebut. Beliau mendakwa:

“Semakin banyak negara telah memberi kesan perundangan kepada bahasa muqadimah. Hak-hak dan prinsip yang disebut dalam muqadimah semakin boleh dikuatkuasakan (enforceable), hak-hak yang peguam boleh membawa kes ke Mahkamah.”

Sebelum ini saya ada menulis berkenaan inisiatif RMP ini di laman web Tanjak dengan tajuk “How Malaysian liberals use Rukunegara as their left-hand drive” yang menimbulkan beberapa persoalan praktikal sesuai dengan senario kontemporari.

Saban hari kita melihat beberapa tuntutan hak individu telah dikemukakan seperti hak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual atau secara kolektif LGBT, hak orang Islam untuk murtad atau keluar dari agama, hak beragama bagi penganut Syiah serta hak penganut Kristian untuk menggunakan kalimah Allah.

Isu-isu ini sememangnya pahit serta sensitif untuk dibincangkan, namun inisiatif RMP ini tidak seharusnya menjadi satu usaha yang ‘evasive’ daripada menyelesaikan kemelut ini secara tuntas.

Saya persoalkan bagaimana Rukunegara sebagai mukadimah Perlembagaan akan diaplikasi sekiranya isu-isu ini dihadapkan ke mahkamah oleh peguam dan aktivis hak asasi manusia? Namun sehingga kini pendukung RMP masih gagal mengemukakan maklum balas yang meyakinkan, bahkan penerangan lanjut mereka semakin mengelirukan dan menggerunkan bagi mereka yang memahami implikasi yang akan mendatang.

Kegusaran yang sama turut dizahirkan oleh Tun Abdul Hamid kerana modus operandi yang sering dilakukan di mahkamah adalah dengan merujuk kepada Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia tanpa mengutamakan undang-undang dan Perlembagaan tempatan.

Perkara ini telah diputuskan oleh Mahkamah di dalam kes Merdeka University Bhd v Government of Malaysia (1981) CLJ(Rep) 191 bahawa Deklarasi tersebut:

‘…merely a statement of principles devoid of any obligatory character and is not part of our municipal law. It is not legally binding instrument as such and some of its provisions depart from existing and generally accepted rules.’

Dalam erti kata mudah, Deklarasi tersebut hanyalah suatu set pegangan yang tidak meletakkan kewajipan ke atas mana-mana negara untuk mengikutinya dan bukanlah juga sebahagian daripada perundangan Malaysia.

Walaubagaimanapun, dengan adanya Rukunegara sebagai mukadimah Perlembagaan, tidak mustahil unsur yang terdapat dalam Deklarasi tersebut diserap masuk ke dalam lanskap perundangan negara yang akan menimbulkan percanggahan yang lebih ketara.

Percanggahan dengan Islam sebagai agama Persekutuan

Hakikatnya, percanggahan yang lebih ketara tersebut timbul apabila Rukunegara sebagai mukadimah dibaca bersama dengan Perkara 3 di dalam Perlembagaan yang memperuntukan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Di dalam kes Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors, Mahkamah memutuskan bahawa Islam di sisi Perlembagaan bukanlah sekadar koleksi amalan ritual dan dogma bahkan ia meliputi seluruh aspek kehidupan. Ini bermaksud Islam memainkan peranan dalam membentuk cara hidup masyarakat Malaysia yang majmuk.

Oleh yang demikian, persoalan yang seterusnya timbul. Bagaimanakah cara hidup menyeluruh yang berasaskan Islam ini boleh diharmonikan dengan ‘cara liberal’ yang terkandung dalam Rukunegara sebagai mukadimah Perlembagaan? Sudah tentu cara liberal dan cara Islam adalah bercanggah sama sekali!

Namun, pertimbangan mesti dibuat bagi menentukan cara yang manakah patut diberikan keutamaan. Memandangkan prinsip-prinsip Rukunegara didakwa bersifat ‘inclusive’ dan ‘accommodative’, maka cara Islam terpaksa berkompromi terhadap cara liberal dan akhirnya melemahkan kedudukan dan keistimewaan Islam dan pengaruhnya di negara kita.

Kekalkan Perlembagaan dan ikrar taat setia

Mengambil kira persoalan dan isu yang diketengahkan di dalam penulisan ini, maka terbukti bahawa Rukunegara sebagai mukadimah Perlembagaan mampu menimbulkan percanggahan dan kekeliruan yang sukar dibendung.

Perkembangan perundangan berlaku begitu pantas di era globalisasi ini dan sekiranya rakyat Malaysia tidak berhati-hati dalam menilai kewajaran inisiatif RMP ini, tidak mustahil negara kita yang tercinta ini akan hanyut dalam arus liberalisme yang dikhuatiri akan menghakis identiti dan jati diri warganegara.

Perlembagaan Persekutuan adalah legasi yang diperturunkan berdekad lamanya. Oleh itu, sama-samalah kita berikrar taat setia bagi menghormati dan mempertahankannya selari dengan objektif dan prinsip Rukunegara yang semestinya dekat dengan hati rakyat Malaysia.

Danial Ariff bin Shaari
Aktivis Gabungan Peguam Muslim Malaysia (IPeguam), sebuah agensi dibawah badan bukan kerajaan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Graduan Universiti Adelaide, Australia

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *