Rakyat AS berhimpun bantah lawatan PM Israel

WASHINGTON, 19 Jamadilawal 1438H, Khamis – Ratusan rakyat Amerika berhimpun di Washington dan Boston semalam, sebagai membantah dasar Israelterhadap Palestin, selepas Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump di White House.

Tunjuk perasaan yang diadakan petang semalam turut disertai beberapa aktivis Yahudi Ortodoks, membantah lawatan Netanyahu ke Amerika Syarikat (AS).

Mereka turut menyuarakan bantahan terhadap penempatan haram Israel di atas tanah persendirian milik Palestin dan ikrar kempen Trump yang mahu memindahkan kedutaan AS di Tel Aviv ke Jerusalem.

Selain itu, bantahan tersebut juga membabitkan lantikan David Friedman sebagai Duta AS ke Israel.

Pengarah Media Muslim Amerika untuk Palestin, Kristin Szremski berkata, lantikan Friedman sebagai duta tidak memberi faedah kepada rakyat Amerika kerana menyifatkan dia sebagai seorang yang berat sebelah.

“Ia tidak baik untuk rakyat Amerika kerana ia akan menjejaskan kredibiliti kami dengan rakan global, dan ia tidak baik untuk rakyat Palestin kerana dia menyokong penaklukan, dan menyokong pemindahan Kedutaan AS ke Jerusalem, yang hanya menyemarakkan ketegangan kepada dunia Islam dan Arab,” katanya.

Sementara di pusat bandar Boston, berpuluh-puluh penunjuk perasaan berhimpun di hadapan bangunan kerajaan sebelum bergerak ke pejabat konsulat Israel di bandar itu.

Tunjuk perasaan itu juga membawa suara yang senada dengan penduduk di Washington, membantah penempatan haram Israel dan ikrar kempen Trump memindahkan Kedutaan AS ke Jerusalem.

Ia juga termasuk bantahan terhadap rancangan kontroversi Trump untuk membina tembok di sepanjang sempadan Mexico dan larangan perjalanan sementara untuk rakyat dari tujuh buah negara Islam.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *