Pilihan raya pilih gabenor Jakarta sekali lagi pada April

JAKARTA, 20 Jamadilawal 1438H, Khamis – Pilihan raya bagi memilih Gabenor baharu Jakarta akan diadakan pusingan kedua pada April susulan tiada calon yang meraih undi majoriti melebihi 50 peratus.

Berdasarkan kepada Sistem Penghitungan Suara iaitu keputusan tidak rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU), ia menunjukkan pasangan penyandang jawatan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dan Djarot Saiful Hidayat mendahului pungutan undi dengan mendapat 44.17 peratus.

Tempat kedua diikuti oleh pasangan Anies Baswedan dan Sandiaga Salahuddin Uno dengan 39.55 peratus manakala pasangan Agus Harimurti Yudhoyono iaitu anak sulung bekas presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono terkeluar daripada pertandingan pusingan kedua apabila mendapat 16.27 peratus.

Bagaimanapun, sistem pilihan raya negara itu mengkehendaki seseorang calon wajib melepasi 50 peratus daripada jumlah undi keseluruhan untuk dilantik sebagai Gabenor Jakarta merangkap ketua eksekutif daerah.

Pusingan kedua pilihan raya itu dijadual berlangsung pada awal April yanh akan menyaksikan pertandingan secara satu lawan satu antara gandingan Ahok-Djarot dan Anies-Sandiago.

Dilaporkan seramai 41,802,538 rakyat Indonesia di tujuh buah wilayah dilaporkan keluar mengundi untuk memilih Ketua Eksekutif masing-masing menerusi Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) bagi tempoh lima tahun.

Keputusan rasmi pilihan raya daerah Indonesia akan diketahui pada 27 Februari ini. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *