Pengurus besar agensi kerajaan direman tujuh hari

PUTRAJAYA, 19 Jamadilawal 1438H, Khamis – Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengeluarkan perintah reman tujuh hari kepada seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan bagi membantu siasatan kes salah guna kedudukan dengan menganugerahkan lebih 50 projek bernilai hampir RM1 juta kepada dua syarikat milik isterinya.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman Perintah mengeluarkan tahanan reman bermula hari ini hingga 22 Februari ini terhadap lelaki berusia 62 tahun itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 9.40 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan bergari.

Semalam, suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi menerusi Ops Nafas yang dilancarkan SPRM.

Dia didakwa menyalahgunakan kedudukan sejak memegang jawatan sebagai timbalan pengurus besar agensi itu dari 2014 hingga tahun lalu sebelum dilantik sebagai pengurus besar pada September tahun lalu.

Suspek dipercayai terbabit secara langsung dalam proses perolehan pembekalan sebut harga berdasarkan tatacara perolehan ditetapkan agensi itu dan pegawai yang bertanggungjawab meluluskan pembayaran kepada syarikat milik isterinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *