Pemimpin perlu wibawa untuk kemajuan agama, bangsa dan negara: Khutbah Jakim

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 14 Rabiulakhir 1438H, Jumaat – Khutbah Jumaat hari ini mengingatkan kepemimpinan sedia ada untuk lebih berwibawa kerana ia mampu membawa perubahan tamadun baharu untuk kemajuan agama, bangsa dan negara.

Menerusi teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), umat Islam diseru mengambil iktibar daripada sejarah kemerosotan dan kejatuhan tamadun masyarakat lampau.

Ini kerana, perubahan amat penting kerana ia dapat melepaskan umat manusia daripada kehinaan dan kecelakaan, jatuhnya sesebuah tamadun, dan rosaknya akidah.

Khutbah berpendapat, terdapat beberapa punca kejatuhan sesebuah tamadun antaranya faktor keruntuhan akhlak dalam masyarakat.

“Ia berlaku apabila ada pemimpin yang tidak mempedulikan soal penghayatan nilai-nilai murni sehingga berleluasanya amalan rasuah dan pecah amanah seperti kejatuhan empayar Moghul.

“Selain itu, berlaku perpecahan di kalangan masyarakat yang mengakibatkan terbantutnya perkembangan ketamadunan tersebut seperti kemerosotan Kerajaan Bani Umaiyah.

“Antara lain, berlakunya ketidakadilan sehingga wujud jurang yang ketara antara golongan kaya dan miskin seperti kezaliman pemerintah Yunani terhadap golongan bawahan yang diakhiri dengan pelbagai siri pemberontakan.

“Seterusnya, akibat ketidakstabilan politik di beberapa wilayah yang dijajah. Bahkan ia juga meliput sikap tidak mahu menerima perubahan sehingga merencatkan daya kreativiti masyarakat dan menjadikan mereka beku,” kata khutbah itu.

Justeru, dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut, Islam menggariskan beberapa ciri perubahan yang relevan dengan generasi muda iaitu melakukan perubahan secara menyeluruh dan tidak terhenti pada satu sudut kehidupan sahaja. Namun, perubahan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa tanpa perancangan yang strategik.

“Selain itu, dari aspek kesucian akidah. Perubahan akidah ini perlu berpusat kepada betul tujuan yang ingin dicapai, betul manhaj dan wasilahnya serta terjamin ketepatannya dari segi syarak,” kata kenyataan khutbah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *