Pasukan petugas khas akan selesaikan isu pekerja asing dalam masa sebulan

PUTRAJAYA, 19 Jamadilawal 1438H, Khamis – Sebuah pasukan petugas khas terdiri daripada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia telah ditubuhkan bagi menangani isu pengambilan pekerja asing, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pasukan petugas itu diberi tempoh 30 hari untuk menyelesaikan isu tersebut, yang disuarakan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) pada dialog meja bulat di sini hari ini.

“Saya telah menegaskan bahawa kami perlu mempunyai satu rancangan jangka panjang yang memberi keutamaan kepada tenaga kerja tempatan, program automasi serta program latihan pekerja mahir dan separa mahir,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan pertemuan itu.

Beliau berkata, sesi meja bulat itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk melibatkan diri secara langsung dengan persatuan perniagaan tentang pelbagai isu, demi manfaat semua pihak.

Kata beliau, setakat 31 Januari, terdapat 1.8 juta pekerja asing yang diambil berkhidmat dalam sektor pekerjaan yang diluluskan kerajaan.

Ahmad Zahid berkata, pada sesi meja bulat itu, beliau menegaskan tentang perlunya penggiat industri memahami rasional di sebalik dasar kerajaan berhubung pekerja asing.

Beliau juga menggesa pihak industri supaya berganding bahu dengan kerajaan dalam melaksanakan dasar berkenaan.

“Kerajaan, terutama melalui Kementerian Dalam Negeri, menghargai input serta maklum balas daripada masyarakat peniaga berhubung pekerja asing serta isu yang mempunyai kaitan dengannya,” kata beliau.

Pendekatan libat sama dengan pemegang taruh mencerminkan secara jelas komitmen kerajaan untuk menggubal dan melaksanakan dasar bersifat inklusif serta amat bermanfaat bagi semua pihak, terutama seluruh rakyat Malaysia dalam memastikan wujudnya pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dan kemakmuran yang dikongsi bersama.

Sebelum berlangsungnya sesi meja bulat itu, Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat barisan kepimpinan kanan NCCIM diketuai presidennya, Datuk Ter Leong Yap.

NCCIM dianggotai persatuan perniagaan utama termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *