PAS tak bekerjasama dengan Bersatu: Hadi Awang

MARANG, 21 Jamadilawal 1438H, Sabtu – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika parti itu menjalin hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Katanya, keputusan itu adalah muktamad selaras dengan garis panduan yang ditetapkan PAS sebelum ini.

“Terpulang kepada dia (PPBM) untuk bekerjasama dengan DAP atau PAN tetapi PAS ada garis panduan iaitu kita tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan kedua-dua parti tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, di sini.

Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata parti itu akan mengadakan kerjasama dengan DAP susulan kenyataan Abdul Hadi yang PAS tidak akan bekerjasama dengan PPBM untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Abdul Hadi membuat kenyataan itu selepas Dr Mahathir berkata PPBM memberi tempoh sebulan untuk PAS membuat keputusan berhubung kerjasama kedua-dua parti tersebut.

Jawatankuasa Induk Bersama PPBM dan PAS sebelum ini pernah mengadakan pertemuan untuk membentuk kerjasama, persefahaman dan muafakat politik.

Sementara itu, mengulas tindakan Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang kerap mengkritik kepimpinan PAS, Abdul Hadi berkata tindakan disiplin akan dikenakan jika jawatankuasa disiplin parti mendapati Mahfuz bersalah.

“Saya dimaklumkan telah ada laporan yang dibuat ke atas beliau (Mahfuz) kepada jawatankuasa disiplin parti. Kita tunggu sahaja keputusannya nanti,” katanya.

Abdul Hadi turut menasihati pemimpin dan anggota PAS yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti atau tidak dapat menerima dasar-dasar PAS agar keluar parti.

Di KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini membayangkan persaingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, hampir pasti.

Beliau berkata kenyataan terbaharu Tun Dr Mahathir untuk tidak sujud di kaki PAS telah menyudahkan secara tidak rasmi teka-teki hubungan politik antara kedua-dua parti itu.

“Persaingan tiga penjuru dalam politik Malaysia hampir pasti berlaku. Blok ketiga atau Gagasan Sejahtera (GS) yang diwujudkan oleh PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) semakin jelas akan beraksi dengan kekuatannya sendiri sebagai pilihan untuk rakyat Malaysia berhadapan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan,” katanya dalam entri di laman Facebooknya semalam. – Bernama

One thought on “PAS tak bekerjasama dengan Bersatu: Hadi Awang

  1. TGHH KATA TIDAK AKAN BEKERJASAMA DGN PPBM DEMI MENEGAKKAN HUKUM ISLAM, TAPI USTAZ TITM MASIH BERMINAT UNTUK BEKERJASAMA DGN PPBM DEMI KEMENÀNGAN PRU 14, PAS NAK BERJUANG KERANA ALLAH ATAU NAK MENÀNG PRU WÀLAUPUN TERPAKSA TUNDUK PADA HANTU RAYA YG BOLEH MENYERUPAI APA SAJA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *