Mustapa yakin pekerja Proton akan dilayan secara adil

KUALA LUMPUR, 19 Jamadilawal 1438H, Khamis – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyuarakan keyakinan bahawa pekerja Proton Holdings Bhd akan diberikan layanan adil oleh mana-mana entiti yang membeli sahamnya.

“Saya cukup yakin bahawa sesiapa jua yang memiliki Proton (kelak) akan melihat dari keseluruhan aspek, tidak hanya pada perniagaan, malah hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi rantaian Tahun Baru Cina antara Miti dan agensi-agensinya di sini hari ini.

Mustapa berkata demikian sebagai mengulas spekulasi bahawa sebahagian besar pekerja akan diberhentikan apabila pembuat kereta nasional itu memuktamadkan proses mendapatkan rakan strategik asingnya (FSP).

“Proton (sendiri) belum membuat keputusan (berkenaan FSP), spekulasi mengenai pemilik dan nasib pekerja ini adalah satu spekulasi yang tidak sihat dan harus dihentikan.

“Apa-apa tindakan yang berkaitan dengan pekerja haruslah diselaraskan dengan undang-undang negara di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia,” katanya

Pada Rabu, DRB-Hicom Bhd menegaskan bahawa ia akan memuktamadkan dan mengumumkan keputusan mengenai FSP bagi Proton, syarikat pembuat kereta milik penuhnya itu, dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Sambil menjelaskan bahawa FSP merupakan proses yang kompleks dan mengambil masa yang panjang, DRB-Hicom dalam kenyataan itu berkata ia bagaimanapun akan berusaha memuktamadkan proses berkenaan secepat mungkin.

Kumpulan itu juga mengesa orang ramai supaya tidak terpedaya dengan laporan-laporan berkaitan pencarian FSP, dan syarikat itu akan membuat pengumuman sebaik proses terbabit selesai.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *