Maqasid bukan dalil menghalalkan segala tindakan politik

TERKILAN mendengar sebahagian ahli politik serta ustaz-ustaznya yang asyik berbicara mengenai maqasid lalu menjadikannya sebagai dalil hukum bagi suatu isu termasuk politik (siyasah), tanpa didasari oleh ilmu Usul Fiqh.

Sebagai pelajar Usul Fiqh, kita semua maklum bahawa apa-apa bentuk siyasah serta ijtihad-ijtihadnya pada asalnya adalah diharuskan selagi mana ia membawa maslahah kepada keseluruhan manusia dengan melihat (al-i`tibar) kepada maqasid dan ma’aalaatnya.

Namun, salah faham yang sering berlaku pada sebahagian ahli politik serta ustaz-ustaznya ialah: siyasah sentiasa fleksibel dan boleh berubah-ubah sepenuhnya bagi mencapai maqasid.

Perlu ditegaskan bahawa siyasah dalam Islam sebenarnya mempunyai tonggak/tunjang yang wajib dipatuhi dan sama sekali tidak boleh ditolak ansur. Ia bersifat kekal tidak kira tempat atau zaman. Tunjang ini didasari oleh nas Al-Quran dan Hadis Sahih yang qat`ie al-dalalah iaitu suatu nas/petunjuk yang tidak membawa makna yang lain (lawannya ialah zonni al-dalalah di mana suatu nas itu boleh membawa lebih daripada satu makna).

Antara tunjang siyasah dalam Islam yang tidak boleh ditolak ansur ialah “Al-Hakimiah Lillah” iaitu Kuasa Pemerintahan adalah milik Allah. Kuasa-Nya mutlak, tidak tertanding oleh sebarang kuasa dan sistem manusia. Manusia hanya sebagai khalifah yang bertanggungjawab memastikan seluruh sistem di muka bumi ini tunduk kepada Allah SWT.

Bertitik-tolak daripada tonggak ini, fuqaha bersepakat bahawa pemerintah tertinggi negara (wilayah `ammah / wizarah tafwidh) wajib daripada kalangan orang Islam sahaja (1).  Wilayah `ammah atau wizarah tafwidh ialah ketua negara atau mereka yang mendapat autoriti secara langsung daripada pemerintah tertinggi negara yang terlibat secara langsung dalam pembentukan polisi utama sesebuah negara dan berhak menentukan hala taju sesebuah negara (2).

(Adapun pemimpin yang dikategorikan fuqaha sebagai wilayah khassah atau wizarah tanfiz, maka terdapat khilaf dari sudut hukum melantik non-muslim bagi posisi tersebut. Secara umumnya ialah dibolehkan JIKA menepati disiplin dan syarat-syarat yang ketat (perbincangannya panjang dan bukan di dalam ruangan ini.)

Kewajiban melantik orang Islam sebagai pemimpin tertinggi negara didasari oleh banyak nas Al-Quran dan Hadis termasuk nas yang memberi isyarat kepada larangan melantik non-Muslim sebagai pemimpin tertinggi sesebuah negara. Maka jika kita ingin mengamalkan sebaliknya, datangkanlah qarinah atau dalil lain yang boleh menukar hukum asalnya ini kepada yang lain. Bukan hanya menggunakan maqasid untuk merubah hukum asal tersebut. Dalam konteks Malaysia, adakah terlalu lemah dan sedikit calon Melayu Islam yang berwibawa dan terlalu hebat pemimpin non-Muslim itu sehingga boleh merubah hukum asal tersebut?

Jika serius ingin melihat dari sudut maqasid juga, ingatlah bahawa maqasid tertinggi siyasah Islam ialah memastikan seluruh menusia dan sistem di dunia ini tunduk kepada Allah SWT. Ini berdasarkan Surah Al-Zariyat ayat 56 dan banyak nas Al-Quran dan Hadis yang lain (3).

Bagaimana pemimpin tertinggi negara yang non-Muslim mampu mencapai maqasid ini? Bagaimana orang yang tidak beriman kepada Allah SWT boleh mengajak masyarakat bahkan sistem pemerintahan negara tunduk kepada Allah?

Lihatlah sejarah, pernahkah negara yang dipimpin oleh non-Muslim berjaya mencapai maqasid ini? Yang ada hanyalah perang salib ke umat Islam selama ratusan tahun. Kekejaman yang telah berlaku terhadap umat Islam di Sepanyol satu ketika dahulu. Penyeksaan umat Islam Palestin pada 1948 dan 1967 bahkan tidak terhenti sehingga kini. Mereka jugalah yang mencatur pembunuhan besar-besaran umat Islam di Burma, Syria, Bosnia, Kosovo, Afrika Tengah, Filifina, malah negara kita sendiri, Malaysia, satu ketika dahulu.

Bukanlah tujuan penulisan ini untuk mempertahankan pemimpin-pemimpin muslim sedia ada yang terlibat dengan segala macam krisis dan korupsi. Sama sekali bukan. Tetapi hanya untuk menyedarkan kita semua bahawa alternatifnya bukan dengan melantik pemimpin non-muslim sebagai pemimpin tertinggi negara. Usaha dari bawah dengan membina jati diri Melayu Muslim di Malaysia perlu terus digencarkan. Pemimpin-pemimpin Muslim yang berwibawa juga perlu dinaikkan. Bukan berputus asa dengan menyerahkan tampuk pemerintahan negara kepada musuh dalam selimut!

Tidak salah bicara maqasid keadilan, maqasid keharmonian antara kaum, dan apa jua maqasid yang memberi maslahah kepada masyarakat secara umum. Tiada satu pun gerakan Islam di Malaysia ini yang bertentangan dengan maqasid tersebut. Semua orang Islam yang bersih jiwanya inginkan keadilan dan keharmonian masyarakat serta negara.

Tetapi yang salah ialah apabila kita lupa bahawa maqasid kepada segala maqasid tersebut ialah memastikan seluruh menusia dan sistem di dunia ini tunduk kepada Allah SWT.

Apa gunanya sibuk perjuangkan maqasid keadilan, maqasid keharmonian tetapi semakin jauh daripada Allah yang Maha Agung?

Apa gunanya maqasid yang dilaungkan jika identiti sebuah negara Islam semakin lama semakin cair?

Berbezanya Maqasid berpandukan wahyu dengan maqasid berpandukan nafsu ialah, maqasid berpaksikan wahyu bukan saja menjamin kebaikan kita di dunia sahaja, malah yang paling penting adalah jaminan kebaikan kita di akhirat kelak.

Berkata Al-Imam As-Syatibi:

إن الشارع قصد بالتشريع إقامة المصالح الأخروية والدنيوية

“Sesungguhnya apa yang dikehendaki As-Syari` (Allah SWT) daripada pensyariatan-Nya ialah penegakan kemaslahatan akhirat dan dunia.”

Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita semua.

Wallah A`lam.

Ustaz Ahmad bin Khairuddin @ https://telegram.me/siyasahmuamalat
BA (Hons) Syariah, Fiqh & Usul Fiqh, Universiti Yarmouk
Ahli Majlis Ulama Isma (Muis)

Rujukan:

[1] Lihat: Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 5. Abu Ya`la, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 20. Syeikh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, m/s 178-197. Prof. Dr. Mahmud Al-Khalidi, Al-Islam wa Usul al-Hukm, m/s 359, Syeikh Abdullah b. Umar b. Sulaiman Al-Damiji, Al-Imamah A-`Uzma `inda Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah, m/s 234..

[2] Lihat: Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah, m/s 22 & Abu Ya`la al-Fara’ , Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 29. Syeikh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, m/s 324.

[3] Lihat: Jawahir Al-Quran, m/s 23, Nazmu Ad-Durar fi Tanasubi Al-Ayat wa As-Suwar, 593/8, Tafsir Fi Zilal Al-Quran, 3541/1.

[4] Al-Muwafaqat 2/62

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *