Mahmoud mahu penyelesaian dua negara selesai konflik Israel-Palestin

TEBING BARAT, 20 Jamadilawal 1438H, Khamis – Hanya penyelesaian dua negara yang diperlukan buat masa ini dalam mengatasi konflik Israel dan Palestin.

Perkara itu ditegaskan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas sejurus menolak cadangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mahu alternatif lain diperkenalkan untuk kedua-dua negara itu.

Mahmoud berkata, setakat ini beliau komited dengan kaedah penyelesaian dua negara selain mahu Israel menghentikan kerja-kerja penempatan haram Yahudi di wilayah yang dirampas dari Palestin.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengadakan sidang akhbar di Washington.

Dalam sidang akhbar berkenaan, Trump juga mahukan rejim Zionis menghentikan penempatan haram Yahudi buat sementara waktu.

Mengulas perkara itu, Mahmoud berkata, beliau bersetuju dengan gesaan Trump yang mahu Israel menangguhkan pembinaan penempatan haram Yahudi di tanah yang dirampas di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

“Kita menggesa Israel bersetuju dengan permintaan Trump dan masyarakat antarabangsa itu,

“Kita hanya komitmen terhadap penyelesaian dua negara dan pengesahan undang-undang antarabangsa yang menjamin kepada penjajahan Israel dihentikan selain penubuhan negara Palestin dengan menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” kata Mahmod dalam kenyataan itu.-Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *