H355 esok penting sebagai isyarat apa yang rakyat mahu: Zainul Rijal

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 20 Jamadilawal 1438H, Jumaat – Perhimpunan H355 yang diadakan di Padang Merbok esok menjadi bukti sokongan dan kesungguhan rakyat negara ini mahukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 diperkasakan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, meskipun ada yang mempertikai keperluan mengadakan himpunan, ia sedikit pun tidak tergugat.

“Sebenarnya sebelum ini juga terdapat pelbagai himpunan yang mendesak kerajaan melakukan sesuatu. Mungkin ketika ini trend mendesak kerajaan adalah melalui himpunan sebegini.

“Bagi saya himpunan ini penting untuk memberi isyarat kepada ahli politik, khususnya ahli parlimen mengenai kehendak rakyat yang mereka wakili.

“Jadi, ayuhlah beramai-ramai menzahirkan sokongan kita bagi meningkatkan martabat mahkamah syariah di Malaysia,” katanya dalam ruangan kolumnis di Sinar Harian, hari ini.

Menceritakan pengalamannya sebagai seorang peguam sivil dan syarie hampir 25 tahun, katanya beliau telah melihat pelbagai evolusi di kedua-dua Mahkamah Sivil dan Syariah.

“Namun evolusi di Mahkamah Syariah seolah-olah disekat kerana bidang kuasa jenayah yang terlalu kecil tidak membantu pembangunan undang-undang itu sendiri.

“Maka, saya merasakan amat penting bagi usaha memartabat dan menaik taraf mahkamah syariah dilakukan segera. Ia sudah lama tertangguh. H355 menunjukkan kehendak umat Islam arus perdana, ia memberi isyarat kepada Ahli Parlimen apakah yang diinginkan oleh umat Islam arus perdana,” katanya lagi.

H355 bertujuan menzahirkan kehendak rakyat yang mahukan akta tersebut dipinda bagi membolehkan Dewan-Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia diberikan kuasa untuk mewujudkan kesalahan jenayah syariah yang hukumannya melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali rotan.

2 thoughts on “H355 esok penting sebagai isyarat apa yang rakyat mahu: Zainul Rijal

  1. Kalau bentang dan ditentang Dap dan juak2nya buat apa. Kenapa persoal nak tangguh padahal utk bagi penjelasan. Dan kenapa pulak nak tentang bila bagi penjelasan. Nampak sangat sikap bolak balik kerana takut hilang sokongan DAP. Sifat golongan tercela macam banyak dicerita dlm quran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *