Darul Insyirah perlu RM6 juta bina kompleks jagaan warga emas


Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 27 Jamadilawal 1438H, Jumaat – Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah memerlukan RM6 juta bagi melengkapkan projek pembangunan pembinaan berperingkat kompleksnya.

Kompleks yang dijangka mula dibina pada 1 April ini bakal menempatkan bangunan pentadbiran Darul Insyirah, asrama penghuni dan ruang prasarana lain seperti surau, bilik seminar dan dewan besar.

Pengasasnya, Asral Widad Ahmad Asnawi berkata, projek pembangunan ini diadakan secara berperingkat menerusi fasa pertamanya yang menelan belanja RM1.5 juta.

Katanya, pembinaan bangunan kompleks fasa pertama itu merangkumi pejabat pentadbiran, bilik penghuni warga emas yang memerlukan penjagaan jururawat serta penempatan sementara untuk penghuni yang sihat.

“Setakat ini, kutipan dana kita berjaya kutip adalah RM460,000. Pembinaan projek kompleks itu akan dikendalikan oleh syarikat KLIA Holdings Sdn Bhd.

“KLIA Holdings akan bekerjasama dengan kita bagi memudahkan pihak kami untuk merealisasikan cita-cita membina kompleks itu,” katanya kepada Ismaweb pada majlis ceramah perdana anjuran Darul Insyirah di sini, hari ini.

Katanya, penganjuran ceramah perdana itu hari ini, sebagai inisiatif untuk mengumpulkan dana bagi membiayai projek pembangunan kompleks berkenaan yang bakal dibina di Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Beliau berkata, tapak kompleks berkeluasan 22,000 kaki persegi itu adalah sumbangan wakaf oleh seorang individu kepada Darul Insyirah.

“Penganjuran ini merupakan kali pertama diadakan bagi mengutip dana membina kompleks. Ia akan diadakan setiap Jumaat pada minggu terakhir setiap bulan di penempatan sementara Darul Insyirah di sini.

“Selain itu, kita juga bekerjasama dengan Tarbiah Sentap untuk membuka tabung pendidikan ummah termasuklah mendekati badan-badan korporat,” katanya.

Bercakap lanjut mengenai pembinaan kompleks, Asral Widad berkata, beliau dan pengasas lain mahu mengubah persepsi masyarakat yang hanya memahami pusat jagaan warga emas sebagai tempat penempatan orang-orang tua yang dibuang keluarga.

“Kompleks ini kita mahu bina kerana Malaysia kini menuju negara tua pada 2030, jadi bagaimana kita nak menangani lambakan warga emas? Kerana kita mahu Malaysia menjadi negara tua yang progresif, dinamik dan proaktif.

“Darul Insyirah diwujudkan dengan modul-modul yang terbaik untuk memberi pendidikan dan jagaan sempurna kepada warga emas. Kita mahu, di akhir usia mereka, mereka mencari ilmu dan insya-Allah akan mendapat husnul khatimah.

“Di sini, penghuni yang kita panggil bonda (setakat ini hanya penghuni wanita) masih berada di bawah tanggungjawab anak-anak mereka. Anak-anak yang menghantar ibu mereka di sini, wajib mengambil mereka pulang ke rumah setiap bulan atau minggu,” katanya.

Orang ramai atau mana-mana badan korporat yang ingin menghulurkan bantuan boleh berhubung terus dengan pengasas, Asral Widad di talian 0122941773 atau pejabat Darul Insyirah, 0389209661.

One thought on “Darul Insyirah perlu RM6 juta bina kompleks jagaan warga emas

  1. Mu-ham-mad Bin Ra-zak

    As-sa-la-mu-‘a-lai-kum! Se-mua-nya dua-nia-wi. Ka-lau tak dak pan-duan de-ngan Al – Qur-anul-ka-rim. Ber-bil-lion @ in-fi-ni-ty pun tak per-nah cu-kup. Tak-bir! Al-la-hu-ak-bar! Al-la-hu-ak-bar! Al-la-hu-ak-bar! Was-sa-la-mu-‘a-lai-kum!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *