China tangguh OBOR di Sri Lanka selepas bantahan kesatuan sekerja, penduduk

Beijing mahu isu berkaitan pelabuhan dan skim zon perindustrian diselesaikan sebelum perjanjian dimuktamadkan

COLOMBO, 20 Jamadilawal 1438H, Jumaat – China akan menangguhkan rancangan pelaburan bernilai AS$1.1 bilion bagi membina pelabuhan, dalam rancangan One Belt One Road (OBOR), sehingga Sri Lanka menyelesaikan halangan undang-undang dan politik berkaitan projek itu.

Tindakan itu memberi tekanan kepada Sri Lanka yang banyak hutang dan memerlukan wang, tetapi bayaran daripada China yang berminat terhadap Pelabuhan Hambantot mungkin dilewatkan beberapa bulan, kata sumber yang biasa dengan rancangan itu.

Selepas menandatangani perjanjian akhir Disember lalu, syarikat China – Merchants Port Holdings – dijangka membeli 80 peratus ekuiti dalam pelabuhan berkenaan.

Beijing juga mengadakan perjanjian berasingan dengan Colombo untuk membangunkan 15,000 ekar zon industri di kawasan sama, perjanjian yang diharap Sri Lanka dapat dimuktamad kemudian.

Namun, rancangan Colombo menjual pegangan dan pengambilalihan tanah zon industri itu mencetuskan penentangan dalaman yang turut disokong kesatuan sekerja dan bekas Presiden Mahinda Rajapaksa.

Peguam yang rapat dengan Rajapaksa juga dilaporkan mencabar rancangan kerajaan itu di mahkamah.

Berikutan itu, Beijing dilaporkan menangguhkan perjanjian pembangunan pelabuhan dan zon industri itu, sehingga Colombo menyelesaikan masalah dalaman yang sedang dihadapi.

“China menyatakan apabila mereka memulakan pembinaan pelabuhan itu, mereka juga mahukan tanah berkenaan,” kata Menteri Kewangan Sri Lanka, Ravi Karunanayake

Duta China ke Sri Lanka, Yi Xiangliang pula berkata, adalah tidak bermakna sekiranya mereka memperoleh pelabuhan itu, tanpa zon industri.

Sri Lanka memerlukan wang China bagi mengurangkan beban hutang, selepas berdepan tekanan daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) bagi mengurangkan defisitnya, menopang rizab pertukaran asing dan meningkatkan hasil cukai sebagai sebahagian daripada perjanjian hutang berjumlah AS$1.5 bilion tahun lalu.

Pelabuhan Hambantota dan lapangan terbang berdekatan dibina oleh kerajaan Rajapaksa pada 2008 dengan hutang kerajaan China berjumlah AS$1.7 bilion.

Apabila Sirisena menggantikan Rajapaksa pada 2015, beliau membekukan semua pelaburan China, dengan mendakwa urusan yang dijalankan dengan pemimpin terdahulu, tidak adil.

Sirisena kemudian mengadakan perjanjian baharu dengan China yang membabitkan penjualan kepentingan dan pelan jangka panjang bagi China membangunkan zon industri.

Kerajaan China dijangka melabur sehingga AS$5 bilion bagi membangunkan kawasan berkenaan yang dijangka mengambil masa tiga hingga lima tahun. Sirisena juga bersetuju memberi pajakan tanah selama 99 tahun kepada China.

Bagaimanapun, kesatuan sekerja pelabuhan mendesak kerajaan mengurangkan pegangan kerajaan China kepada 65 peratus serta 50 tahun pajakan tanah.

Januari lalu, ratusan penunjuk perasaan bertempur dengan polis menentang rancangan zon industri berkenaan. – Agensi

3 thoughts on “China tangguh OBOR di Sri Lanka selepas bantahan kesatuan sekerja, penduduk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *