Bayaran BR1M 2017 secara baucar mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 21 jamadilawal 1438H, Sabtu – Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi 2017 secara baucar akan dibuat mulai hari ini.

Menurut kenyataan Seksyen Komunikasi Korporat, Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, pembayaran secara terus ke akaun bank akan dibuat pada 22 Februari ini.

Bagi penerima BR1M yang tidak memberi maklumat berkaitan akaun bank, baucar BR1M akan dihantar secara pos ke alamat kediaman dan baucar BR1M itu boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menurut kenyataan itu orang ramai yang ingin bertanya atau membuat semakan berkaitan BR1M boleh menghubungi talian hotline BR1M di talian 1-800-88-2716.

Sebanyak 5,153,238 permohonan BR1M telah diluluskan kerajaan setakat ini, manakala 3,123,950 permohonan lagi masih dalam peringkat pemprosesan dan keputusan dijangka diumumkan bulan depan.

Sebanyak 2,782,799 pemohon akan menerima bantuan RM1,200, manakala 243,434 bagi bantuan RM900 dan selebihnya 2,127,005 layak untuk bantuan RM450.

Bagi BR1M tahun ini, bantuan akan dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali pada Februari, Jun dan Ogos. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *