Ahli Isma diseru baiki bacaan Al-Quran, kuasai bahasa Arab

Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

KUALA LUMPUR, 15 Jamadilawal 1438H, Ahad – Dua perkara yang merupakan kunci untuk memudahkan dakwah Isma masuk ke dalam masyarakat ialah bacaan Al-Quran yang baik dan penguasaan bahasa Arab.

Hal ini kerana masyarakat amat menghargai mereka yang berkebolehan dalam dua perkara itu dan mereka dahagakan sentuhan dakwah Islam.

“Mereka mahukan Islam tapi mereka tak boleh bertolak ansur dengan mereka (pendakwah) yang tak mahir dengan Al-Quran. Oleh itu, bacaan Al-Quran wajib diperbaiki dan kena pandai juga bahasa Arab untuk menjelaskan pengajaran daripada Al-Quran.”

Ahli Jawatankuasa Isma Pusat, Ustaz Mohd Rusdi Alias berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Isma Gombak ke-6 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Katanya, masyarakat amat memerlukan mereka yang boleh membimbing ke arah Islam namun ahli Isma perlu memiliki ciri-ciri pendakwah yang baik.

“Ini satu perkara positif dalam masyarakat yang perlu kita ambil peluang. Jika ada kekurangan, kita anggap ia sebagai cabaran untuk lebih mengesani mereka dalam menyampaikan mesej-mesej dakwah,” katanya di hadapan lebih 200 ahli Isma Gombak.

YDP Isma Gombak, Zuraidi Zakaria menyampaikan cenderamata kepada Ahli Jawatankuasa Isma Pusat, Ustaz Mohd Rusdi Alias.

Selain itu, beliau yang memegang jawatan Pengerusi Majlis Pengkaderan Nasional turut menyatakan kesyukuran di atas kejelasan fikrah Isma dalam medan dakwah di Malaysia.

“Ini adalah taufik Allah kepada kepemimpinan Isma yang bersungguh-sungguh memacu Isma ke hadapan.

“Kita juga jelas pertembungan yang berlaku hari ini, kita mewakili hizbullah menentang hizbu syaitan,” katanya.

Ustaz Rusdi kemudiannya merasmikan mesyuarat sebagai mewakili pimpinan Isma pusat.

Sebelum itu, Yang Dipertua Isma Gombak, Zuraidi Zakaria dalam ucapan aluannya berkata, Isma Gombak telah mencapai beberapa kejayaan dari sudut aktiviti bersama masyarakat.

“Kejayaan yang datang adalah hasil usaha kita semua dan kita tak boleh berpada dengan pencapaian hari ini.

“Tanggungjawab dan tuntutah dakwah ini teramat berat, sangat memerlukan ramuan padu antaranya kerjasama erat, semangat dan fizikal yang kuat dan jiwa yang besar,” katanya.

Turut hadir Timbalan Presiden Isma, Aminuddin Yahaya dan Naib Yang Dipertua Isma Gombak, Abdul Samad Ashaari dan barisan pimpinan Isma cawangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *