Zaaba Institute anjur forum bincang isu politik dan anak muda Sabtu ini

 

BANGI, 12 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Institut Kepimpinan Zaaba (ZIL) sekali lagi menganjurkan forum yang mencetuskan idealisme lebih segar pada Sabtu ini di Hotel De Palma, Ampang.

Forum bertajuk ‘Kuasa Politik Anak Muda: Apa Mereka Mahu?’ bakal menampilkan ahli panel daripada beberapa parti politik dan pertubuhan hebat bagi menyemarakkan lagi diskusi politik.

Antaranya, Exco Pemuda UMNO, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz, Naib Ketua AMK Mohd Radzlan Jalaludin, Exco Pemuda Parti Amanah Malaysia (PAN), Nik Abdul Razak, Ketua Pemuda Isma, Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad dan Pensyarah Universiti Malaya, Dr Muhammad Asri.

Pegawai ZIL, Ustaz Assidiq Fauzan berkata, tajuk forum ini dipilih sebagai persediaan generasi baru untuk menjadi pelapis kepimpinan negara.

“PRU-14 akan berlaku tahun ini dan boleh dikatakan separuh daripada jumlah pengundi adalah di kalangan pemuda.

“Jadi kita perlukan pandangan anak muda Malaysia terhadap politik negara agar mereka yang lain semakin terbuka pemikiran politik. Ini kerana setiap ahli panel akan menterjemahkan ideologi masing-masing.

“Yang pasti, wacana ini untuk mengetengahkan politik matang di kalangan anak muda, untuk berfikir secara rasional dan inter-parti,” katanya.

Sebelum ini ZIL pernah menganjurkan forum bertajuk Forum Wanita: Penglibatan Politik dengan menampilkan ahli panel bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan, Tan Sri Datin Seri Paduka Zaleha Ismail, Ahli Parlimen PAN Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Ketua UMNO, Bahagian Maran Datuk Shahaniza Shamsuddin, Ahli Parlimen PKR, Rodziah Ismail dan aktivis Isma, Dr Fadilah Ashari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *