Sistem zakat MAIPs jadi model enam Wilayah Andaman di Thailand

PHANG NGA (Selatan Thailand), 12 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Enam Wilayah Andaman di Selatan Thailand berhasrat menjadikan sistem pengurusan kutipan dan agihan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai model inovatif untuk diaplikasi di negara jiran itu.

Anggota Jawatankuasa Majlis Agama Islam Phuket, Muhammad Danail Abdul Kadaer berkata, pengurusan kutipan dan agihan zakat seperti yang dilaksanakan oleh MAIPs sangat sistematik dan lebih telus.

“Kami wakil-wakil majlis agama dari enam Wilayah Andaman sangat tertarik dengan sistem zakat di Malaysia kerana ia dilaksanakan oleh negara Islam, berbeza di Thailand yang penduduk muslim adalah minoriti.

“Pada pandangan kami, kekurangan di Thailand ialah ia tidak dilaksanakan dengan betul dan sistem cukai serta zakat adalah secara berasingan, berbeza dengan Malaysia dan MAIPs yang mana zakat boleh mengurangkan kadar cukai,” katanya.

Muhammad Danail berkata demikian selepas majlis penutup program Bengkel Pengurusan Zakat sempena program Ziarah Mahabbah anjuran MAIPs di sini pada Ahad yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Perlis, Khairi Hassan.

Katanya, secara keseluruhan sistem pengurusan zakat oleh MAIPs yang dikongsi bersama enam Wilayah Andaman ini membuka ruang pemahaman dan cara yang lebih teratur untuk dicontohi serta memberi kesedaran berzakat oleh umat Islam di Thailand.

“Kehadiran delegasi Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizzudin Putra Jamalullail dan MAIPs ke tempat kami sangat memberi impak positif selain pengetahuan yang luas yang sebelum ini kami tidak tahu.

“Selain itu, perkongsian kaedah diguna pakai MAIPs itu juga memberi banyak input tentang cara untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kutipan dan menambah baik agihan berkaitan zakat,” katanya.

Sementara itu, Khairi berkata, program berkenaan yang masuk kali ketiga diadakan, secara keseluruhannya berjaya memantapkan lagi pengetahuan tentang cara pengurusan zakat kepada para anggota majlis di enam wilayah berkenaan.

“Di Thailand khususnya di Wilayah Andaman, zakat tidak dilaksanakan secara serius kerana mereka sangat kurang maklumat tentang proses pungutan dan pembayaran zakat.

“Zakat dibayar kepada individu dan tiada peraturan khusus dalam proses tersebut yang mana ia boleh menimbulkan pelbagai keraguan dan dikhuatiri objektif sebenar zakat itu tidak tercapai,” katanya.

Sehubungan itu, MAIPs menyarankan agar mereka wujudkan satu badan khas seperti di Malaysia (Baitulmal) untuk menguruskan kutipan zakat mereka, bagaimanapun ia mesti melalui saluran yang betul iaitu perbincangan dengan kerajaan pusat di Thailand, katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *