Sheikh Saidey dituduh lagi tipu pelaburan bilik hotel di Makkah, Madinah

KUALA LUMPUR, 12 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Ahli perniagaan, Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman, 43, hari ini dihadapkan pula di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menipu pelaburan pajakan bilik hotel di Makkah.

Semalam, dia dan isterinya, Sofia Affendi, 41, didakwa di atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret, Johor Bahru kerana menipu ahli perniagaan menerusi skim pelaburan dalam pajakan bilik hotel di Makkah dan Madinah pada 2015 berjumlah RM597,151.

Kedua-duanya bagaimanapun tidak mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Hari ini, Sheikh Saidey dihadapkan pula di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan menipu pelaburan pajakan bilik hotel di Makkah membabitkan kerugian lebih RM320,000 antara November 2015 dan Jun tahun lalu.

Dia juga mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu dengan memperdaya seorang pengarah syarikat, Mohd Ismail Norbat melalui penama Nor Hazeerena Hamdan dengan menawarkan pajakan bilik hotel di Makkah, yang tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM324,300 ke dalam tiga akaun milik Nor Hazeerena sebelum dipindahkan ke lapan akaun yang diuruskan tertuduh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *