Penjual ayam, daging perlu pamer sijil halal di premis

TAWAU, 12 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Pengusaha premis menjual ayam dan daging digesa supaya mendapatkan dan memapar sijil halal di premis masing-masing bagi mengelak kekeliruan pengguna mengenai status ayam atau daging yang dijual.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Alidin Ali Hassan berkata, selain pematuhan undang-undang sedia ada bagi memastikan ayam dan daging yang dijual adalah daripada sumber halal, pengusaha premis perlu mengambil inisiatif memperoleh sijil halal bagi menjamin tahap kebersihan dan keselamatan produk.

“Adalah lebih baik sekiranya pemilik premis memiliki persijilan halal bagi memudahkan masyarakat dan pengguna mengetahui status halal daging atau ayam yang dijual.

“Ini kerana kita khuatir ada premis mendapatkan bekalan ayam dan daging daripada sumber yang mempunyai persijilan halal tetapi pada masa sama turut mendapatkan bekalan daripada sumber lain yang tidak memiliki persijilan halal,” katanya selepas melancarkan Ops Bersepadu Pemantauan Halal JHEAINS di sembilan premis dan pasar raya sekitar daerah ini, hari ini.

Pada masa yag sama, Alidin turut meminta masyarakat lebih peka dengan logo halal dipaparkan, selain berhati-hati memilih premis yang menjual ayam dan daging bagi memastikan ia berdaftar serta diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan JHEAINS.

“Adalah menjadi kesalahan apabila premis menggunakan atau menampal logo halal palsu, meniru dan mengelirukan kerana ia boleh didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Perihal Dagangan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *